Dedah keputusan ujian sebelum buka semula laluan hijau di Lebuhraya Persekutuan, kata pakar

Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa mendedahkan keputusan ujian keselamatan terhadap permukaan hijau di terowong motosikal Lebuhraya Persekutuan berhampiran Subang sebelum laluan itu dibuka semula kepada pengguna.
Pakar Psikologi Trafik dan Keselamatan Jalan Raya Rozmi Ismail berkata keputusan ujian, khususnya tahap cengkaman ketika permukaan basah, penting bagi memastikan laluan itu benar-benar selamat selepas beberapa penunggang motosikal dilaporkan terbabas ketika hujan renyai baru-baru ini.
Beliau berkata permukaan asfalt biasa mempunyai tekstur batu yang membantu menghasilkan cengkaman, manakala bahan seperti cat, simen atau lapisan komposit yang lebih rata berpotensi menjadi licin apabila basah atau berlumut jika tidak mempunyai rintangan gelincir mencukupi.
“Setiap pelaksanaan polisi atau penggunaan bahan baharu di jalan raya perlu melalui ujian kelulusan yang ketat daripada pihak JKR, seumpama kenderaan yang perlu mendapat kelulusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
“Apabila berlaku kemalangan, penggunaan laluan berkenaan perlu ditangguhkan sehingga siasatan selesai.
“Jika terbukti selamat, umumkan keputusan siasatan kepada orang ramai. Jika berbahaya, hentikan penggunaannya,” kata pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia itu kepada FMT.
Beliau mengulas kejadian beberapa penunggang motosikal terbabas dan terjatuh di permukaan berwarna hijau dalam terowong motosikal berhampiran Subang ketika keadaan jalan basah.
Susulan kejadian itu, JKR Daerah Petaling menutup sementara terowong berkenaan bagi menjalankan pemeriksaan teknikal dan mengenal pasti faktor yang menyumbang kepada kemalangan.
Jangan anggap warna punca jalan licin
Pakar keselamatan jalan raya Universiti Putra Malaysia Law Teik Hua pula berkata orang ramai tidak seharusnya terus membuat kesimpulan bahawa sesuatu permukaan menjadi licin hanya kerana ia berwarna.
Bagaimanapun, katanya, sesuatu permukaan yang memenuhi spesifikasi tidak semestinya bermakna ia selamat dalam semua keadaan penggunaan.
“Persoalan utama yang perlu dijawab JKR bukan sekadar sama ada jalan ini telah diuji, tetapi apakah jenis ujian yang dilakukan dan berapa nilai rintangan gelincir yang diperoleh dalam keadaan basah mahupun kering.
“Data itu juga perlu dibandingkan dengan permukaan asfalt biasa bersebelahan bagi menentukan sama ada lapisan hijau itu menyediakan cengkaman mencukupi,” katanya.
Law berkata keputusan ujian itu sepatutnya menjadi asas untuk menentukan sama ada terowong berkenaan selamat dibuka semula atau perlu menjalani rawatan serta pengubahsuaian terlebih dahulu.
Katanya, langkah berjaga-jaga wajar diambil terhadap lokasi terjejas sementara siasatan teknikal diselesaikan.
Beliau berkata penilaian keselamatan juga tidak seharusnya tertumpu kepada warna atau bahan permukaan semata-mata, sebaliknya perlu mengambil kira keadaan sebenar ketika jalan digunakan, khususnya ketika hujan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.