Kumpulan Rohingya sambut baik keputusan ICJ terhadap Myanmar

Pertubuhan Rohingya di seluruh dunia menggesa tindakan segera masyarakat antarabangsa bagi memastikan Myanmar dipertanggungjawabkan susulan keputusan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang mendapati negara itu melakukan genosid terhadap etnik Rohingya, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Menerusi kenyataan yang disokong 64 pertubuhan, kumpulan berkenaan menyifatkan keputusan dalam kes yang dikemukakan Gambia pada 2019 itu sebagai langkah bersejarah ke arah menegakkan keadilan bagi mangsa dan mereka yang terselamat daripada kekejaman berkenaan.
Mereka turut merakamkan penghargaan kepada Gambia, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) serta negara yang menyokong prosiding itu.
Pertubuhan berkenaan menggesa Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memastikan Myanmar mematuhi keputusan ICJ, selain menyeru pelaksanaan embargo senjata, sekatan bekalan bahan api jet serta perluasan sekatan terhadap tentera Myanmar dan Tentera Arakan.
Kenyataan itu turut menggesa bantuan kemanusiaan segera disalurkan ke Negeri Rakhine serta penambahbaikan keadaan hidup lebih sejuta pelarian Rohingya di Bangladesh.
Mereka menegaskan bahawa sebarang penghantaran pulang pelarian mesti dilaksanakan secara selamat dan sukarela, dengan jaminan kewarganegaraan penuh serta hak sama rata.
Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa keputusan mahkamah semata-mata tidak mampu melindungi orang awam Rohingya tanpa tindakan konkrit masyarakat antarabangsa.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.