Zahid nafi menghadap Tuanku Muhriz

Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi menafikan beliau mendapat perkenan untuk menghadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir di Istana Negeri Sembilan di Changkat Persekutuan semalam.
Zahid berkata beliau dan Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim tidak menerima titah untuk menghadap Tuanku Muhriz dan hanya mengetahui mengenai perkembangan itu menerusi laporan media.
Semalam, Bernama melaporkan beberapa kenderaan, termasuk sebuah yang membawa Perdana Menteri Anwar Ibrahim, tiba di Istana Negeri Sembilan untuk menghadap Tuanku Muhriz.
Pertemuan itu berlaku di tengah-tengah pertikaian mengenai krisis di negeri itu, dengan Bernama melaporkan bahawa Zahid dan Ismail juga dijangka mendapat perkenan menghadap.
“Saya tak ada. Saya dan menteri besar Negeri Sembilan tidak pernah dititah untuk menghadap,” kata Zahid hari ini ketika ditanya mengenai pertemuaan itu.
“Kami tahu hanya daripada media saja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis University Research & Innovation Investment Summit 2026.
Zahid juga enggan mengulas lanjut mengenai pertikaian itu, sebaliknya menyerahkan perkara tersebut kepada Ismail. Beliau berkata perkara itu perlu diuruskan dan diselesaikan secara baik di negeri berkenaan.
Katanya, soal interpretasi dalam perundangan dan juga soal kuasa bukan hanya melibatkan taksiran undang-undang, serta menegaskan institusi di Negeri Sembilan perlu dihormati tanpa mengetepikan kedudukan institusi sedia ada.
Perkembangan itu susulan pengumuman Istana Negeri Sembilan bahawa Tuanku Muhriz memutuskan untuk membatalkan pelantikan 10 anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri kerana melanggar sumpah jawatan mereka susulan satu kenyataan bersama yang menyokong penyingkiran baginda sebagai pemerintah negeri.
Mereka mengangkat sumpah dan menandatangani ikrar taat setia pada 7 Ogos lepas.
Bagaimanapun, Ismail semalam mempertikaikan keputusan itu, dengan berkata Perlembagaan Negeri Sembilan tidak membenarkan Yang Dipertuan Besar menamatkan tempoh jawatan seorang anggota exco melainkan atas nasihat atau permintaan menteri besar.
Minggu lalu, exco berkenaan mengeluarkan kenyataan bersama yang didakwa mengesahkan untuk menurunkan Tuanku Muhriz sebagai Yang Dipertuan Besar.
Ismail menyokong kenyataan itu sehari kemudian, walaupun sebelum ini mendakwa bahawa beliau dipaksa menandatangani suatu pengisytiharan untuk menurunkan Tuanku Muhriz.
Dewan Keadilan dan Undang kemudiannya menolak kenyataan exco itu sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah, serta mengesahkan bahawa Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang Dipertuan Besar.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.