Perlis anjur program AI untuk penggiat pelancongan

Penggiat pelancongan Perlis diberi pendedahan praktikal pelbagai perisian kecerdasan buatan (AI) bagi penghasilan kandungan kreatif bagi memperkasa pemasaran digital pelancongan.
Bengkel Perlis AI Tourism Attack yang dianjurkan secara kolaboratif oleh Travel Yamu dan Asni Rez dengan sokongan Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis (PSSI), sebagai usaha memperkukuh promosi pelancongan negeri.
Inisiatif tersebut juga bertujuan merapatkan jurang digital, membantu penggiat industri menyesuaikan diri dengan perkembangan teknologi, dan perubahan landskap pemasaran pelancongan global.
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan perasmian bengkel berkenaan.
Istana Arau dalam kenyataan, berkata bengkel membuka peluang kepada masyarakat tempatan mengetengahkan keunikan budaya, warisan, dan keindahan alam semula jadi Perlis sebagai produk pelancongan berpotensi menjana pendapatan serta mewujudkan peluang ekonomi.
“Melalui pendekatan pemasaran digital yang lebih strategik, produk dan pakej pelancongan tempatan juga berupaya dipasarkan kepada khalayak yang lebih luas, termasuk pelancong dari luar negara,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, usaha tersebut diharap dapat melahirkan lebih ramai bakat dan pelopor digital tempatan yang berupaya menerajui transformasi industri pelancongan negeri, selain memperkukuh kedudukan Perlis sebagai destinasi pelancongan inovatif dan berdaya saing.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.