Kontroversi peletakan jawatan Ismail boleh jejaskan kredibiliti Umno, kata penganalisis

Kontroversi dakwaan peletakan jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan Ismail Lasim boleh memberi kesan kepada Umno, sebuah parti yang selama berpuluh tahun mendakwa sebagai pembela institusi diraja, kata seorang penganalisis.
Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, cara Umno menangani kontroversi itu menimbulkan persoalan sama ada parti tersebut benar-benar menghormati institusi diraja atau sekadar meraikannya apabila keadaan menguntungkan dari segi politik.

Beliau berkata, Umno perlu menjelaskan mengapa parti itu mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebelum proses perlembagaan diselesaikan dengan sewajarnya.
Jika tidak, pengundi mungkin tertanya-tanya sama ada istana dianggap sebagai pihak berkuasa perlembagaan atau sekadar dijangka mengesahkan keputusan politik yang telah dibuat di tempat lain.
“Persepsi itu sahaja boleh membawa kesan buruk dari segi politik. Kontroversi ini boleh menyebabkan Umno kehilangan undi, khususnya pengundi atas pagar, golongan muda Melayu dan mereka yang sudah mempersoalkan kredibiliti parti itu,” katanya kepada FMT.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Zambry Abdul Kadir mengumumkan peletakan jawatan Ismail pada 16 Nov, tetapi istana pada hari berikutnya berkata pihaknya masih belum mengesahkan kesahihan surat berkenaan.
Istana juga berkata peletakan jawatan itu tertakluk kepada perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Bagaimanapun, pada Jumaat, Ismail mendedahkan bahawa beliau tidak menyerahkan mahupun bersetuju dengan penyerahan surat peletakan jawatan itu kepada Tuanku Muhriz.
Zaharuddin berkata, masalah yang lebih mendalam ialah percanggahan ketara antara apa yang Umno laungkan dengan apa yang diamalkannya.
Beliau berkata, pengundi Melayu, khususnya mereka yang menghargai institusi diraja, mungkin sukar memaafkan sikap angkuh seperti itu, manakala pengundi muda mungkin melihat episod ini sebagai satu lagi contoh kelompok politik lama yang percaya hierarki parti lebih penting daripada ketelusan dan akauntabiliti.
“Bahaya yang timbul tidak semestinya kehilangan sokongan secara besar-besaran, tetapi hakisan keyakinan secara beransur-ansur dalam kalangan pengundi yang sudah ragu-ragu untuk menyokong Umno.
“Di kawasan pilihan raya yang sengit persaingannya, kehilangan kepercayaan walaupun sedikit boleh menentukan kemenangan atau kekalahan,” katanya.
Zaharuddin berkata, Umno perlu memahami bahawa kesetiaan kepada institusi beraja bukan diukur berdasarkan sekuat mana ahli politik melaungkan ‘Daulat Tuanku’, tetapi berdasarkan sejauh mana mereka menghormati institusi itu apabila kuasa politik dipertaruhkan.
“Paling ironinya, Umno mungkin menghabiskan beberapa dekad memberi amaran kepada orang Melayu bahawa pihak lain boleh mengancam institusi raja mereka, tetapi kini parti itu sendiri perlu menjawab persoalan sama ada ia telah melemahkan institusi yang didakwa dipertahankannya,” katanya.

Azmi Hassan dari Akademi Nusantara tidak percaya Umno cuba memperdaya Tuanku Muhriz.
Beliau berkata, Umno berkemungkinan mendesak Ismail letakan jawatan kerana beranggapan beliau, yang telah menimbulkan kemarahan Tuanku Muhriz dan ditegur secara terbuka, tidak lagi mampu bekerjasama dengan pemerintah negeri itu.
“Saya tidak fikir Umno cuba memperdaya Yang Dipertuan Besar. Ia merupakan langkah taktikal yang diharapkan Umno dapat menyelesaikan isu khusus ini,” katanya.
Beliau juga berkata, beliau tidak berpendapat kontroversi itu akan menjejaskan Umno.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.