SPRM rakam keterangan Isa di Penjara Sungai Buloh

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah merakam keterangan bekas pengerusi Felda, Isa Samad di Penjara Sungai Buloh pada 17 Sept lalu bagi membantu siasatan kes Op Fella.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata rakaman keterangan itu berkaitan isu pembelian dan pelaburan aset oleh Felda serta Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) yang disyaki terdapat unsur rasuah dan penyelewengan.
“Siasatan masih berjalan dan rakaman keterangan dibuat pada 17 Sept di Penjara Sungai Buloh dan dijangka bersambung minggu depan,” katanya pada sidang media di sini.
Beliau berkata, siasatan itu meliputi tempoh 10 tahun dari 2010 hingga 2020, dengan enam kertas siasatan baharu dibuka, manakala satu lagi kertas siasatan lama diteruskan.
“Setakat 18 Sept, 34 saksi telah dipanggil dan keterangan mereka dirakamkan berkaitan kes-kes yang disiasat oleh pihak SPRM, iaitu tujuh kes, dan antara saksi itu ialah bekas ahli lembaga pengarah Felda dan bekas ahli lembaga pengarah FIC.”
Daripada tujuh kes itu, jelasnya, SPRM kini menumpukan isu membabitkan dakwaan penyelewengan dalam Projek Kuala Lumpur Vertical City (KLVC).
“Bagi kes itu, SPRM telah menahan dua individu, iaitu bekas pengarah besar Felda dan juga bekas ketua pegawai eksekutif FIC. Mereka telah direman beberapa hari oleh mahkamah dan kini dibebaskan dengan jaminan SPRM.”
Menurutnya, keterangan 30 saksi, termasuk ahli lembaga pengarah dan pihak pengurusan Felda telah dirakam berhubung siasatan KLVC yang kini selesai.
“Ingin dimaklumkan SPRM akan memperakukan pertuduhan terhadap kedua-dua individu yang dinyatakan tadi berdasarkan kertas siasatan tersebut. Pihak kami akan mendapatkan izin daripada Jabatan Peguam Negara bagi meneruskan dari segi pendakwaan dan sebagainya.”
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.