Berhenti bertekak soal istilah, mari selesaikan nasib wanita Malaysia

Apabila istilah ‘feminisme’ disebut di Malaysia, perdebatan sering menjadi tegang sebelum ia sempat bermula. Sebahagian masyarakat melihatnya sebagai perjuangan menuntut hak yang adil, sebahagian lagi curiga ia membawa gagasan luar yang boleh bertentangan dengan nilai keluarga kita.
Hakikatnya, kita tidak perlu membuang masa bertekak sama ada mahu menerima atau menolak istilah ini seratus peratus. Soal yang lebih mendesak ialah nasib hidup wanita, tanggungjawab mengurus rumah tangga, dan soal mencari rezeki di Malaysia hari ini.
Keadaan ini dapat dilihat melalui angka. Global Gender Gap Report 2026 meletakkan Malaysia di tangga ke-104 daripada 145 ekonomi dalam mengukur jurang antara lelaki dan wanita. Cermin sebenar masyarakat kita pula boleh dilihat pada penyertaan wanita dalam tenaga buruh.
Angka rasmi setakat pertengahan 2026 menunjukkan kadar penyertaan tenaga buruh wanita ialah 57.3%, berbanding lelaki 82.9%. Mengapa jurang ini masih besar sedangkan ramai wanita kita berpelajaran tinggi? Antara perkara perlu diberi perhatian ialah tanggungjawab rumah tangga dan keluarga yang terus mempengaruhi penyertaan seseorang dalam pasaran pekerjaan.
Saban hari, rakyat Malaysia menghabiskan purata lebih lima jam untuk kerja rumah dan menjaga ahli keluarga tanpa bayaran. Namun, wanita menanggung bahagian lebih besar dengan purata enam jam tujuh minit sehari, berbanding lelaki empat jam 20 minit.
Apabila anak sakit, sekolah ditutup, atau ibu bapa semakin uzur, siapa yang biasanya perlu mengorbankan masa kerja? Angka ini bukan untuk menyalahkan sesiapa, tetapi membuka mata bahawa tempat kerja dan masyarakat kita masih perlu melakukan lebih banyak usaha untuk membantu pasangan suami isteri membahagikan tanggungjawab dengan lebih seimbang.
Sebab itulah perbincangan berhubung hak lelaki dan wanita di Malaysia tidak boleh dicedok bulat-bulat dari Barat. Kehidupan wanita profesional di ibu kota jauh bezanya daripada ibu tunggal di kampung. Perjalanan hidup mereka dibentuk oleh pendapatan, agama, latar sosial, dan adat resam.
Di negara kita, agama dan keluarga bukan sekadar urusan peribadi, tetapi tiang seri masyarakat. Sebarang usaha untuk membela nasib wanita mesti berakar pada nilai keadilan, amanah, dan kebaikan bersama yang dekat dengan kehidupan masyarakat kita, bukan sekadar meminjam laungan dari luar.
Layanan yang adil juga tidak bermakna wujudnya perang antara lelaki dan wanita. Lelaki juga seorang bapa, anak, suami, dan rakan sekerja. Galakan agar lelaki sama-sama menjaga anak dan melakukan kerja rumah bukan sekadar meringankan beban isteri, malah membantu membentuk keluarga yang lebih bertanggungjawab. Perbincangan yang sihat tidak mencari musuh; ia mencari jalan keluar.
Pada akhirnya, kita berdepan soal peluang, pekerjaan, tanggungjawab keluarga, dan layanan yang saksama setiap hari. Kita boleh meneliti pandangan dari luar untuk memahami keadaan, namun jalan penyelesaian mesti sesuai dengan acuan tempatan.
Yang penting bukan memenangkan istilah ‘feminisme’, tetapi keberanian kita membina masyarakat dan sistem adil buat lelaki dan wanita.
Penulis ialah calon PhD bidang pengajian kepimpinan yang mengkaji kepimpinan responsif, adil dan seimbang antara lelaki dan wanita.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.