Malaysia dijangka terima semua 18 jet FA-50M menjelang Mac 2028

Malaysia dijangka menerima keseluruhan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M dari Korea Selatan menjelang Mac 2028 bagi memperkukuh keupayaan pertahanan udara negara.
Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata dua pesawat telah diterima setakat ini, manakala empat lagi dijadual tiba pada April tahun depan sebelum berlangsungnya Pameran Maritim dan Aeroangkasa Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2027.
Beliau berkata baki 12 pesawat dijangka diterima pada Mac 2028, sekali gus melengkapkan penghantaran keseluruhan 18 pesawat yang diperoleh kerajaan.
“Semua pesawat akan berpangkalan di Kuantan, Pahang manakala penempatan seterusnya akan dipertimbangkan selepas pesawat Hawk ditamatkan perkhidmatan,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Sekolah Angkat Madani di SK Panchor.
Terdahulu, Malaysia memeterai kontrak perolehan 18 pesawat FA-50M daripada Korea Aerospace Industries (KAI) pada 2023 dengan nilai hampir RM4 bilion di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.
Pesawat berkenaan akan menggantikan armada Hawk milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang semakin berusia, selain berfungsi sebagai pesawat latihan lanjutan juruterbang pejuang dan melaksanakan misi tempur ringan.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.