Anak maut dihempap tiang futsal, bapa saman pengendali taman RM506,000

Bapa kepada remaja lelaki berusia 14 tahun yang maut selepas dihempap tiang gol futsal tumbang menyaman pengendali taman rekreasi di IOI Resort City lebih RM500,000 atas dakwaan kecuaian.
Sahabir Jailani Sirajidin, 44, mendakwa Resort Villa Golf Course Berhad gagal memastikan tiang gol mudah alih dipasang dengan selamat sehingga menyebabkan ia tumbang lalu menghempap anaknya, Haziq, pada 21 Dis 2024.
Bagaimanapun, syarikat itu menafikan kecuaian dengan mendakwa remaja terbabit menyebabkan tiang berkenaan tumbang dengan bergayut, berayun dan menendangnya, dakwaan yang disangkal bapanya.
Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan di Mahkamah Sesyen Sepang pada 31 Ogos, Sahabir berkata, anaknya sedang bermain futsal dengan saudara-mara di Central Park, IOI Resort City, apabila tiang gol itu tumbang lalu menghempap kepalanya.
Haziq dikejarkan ke Hospital Sultan Idris Shah di Serdang, tetapi meninggal dunia akibat kecederaan dialaminya. Menurut dokumen mahkamah, hasil bedah siasat mendapati punca kematian adalah trauma akibat hentakan kuat pada tengkorak.
Sahabir mendakwa syarikat itu gagal memastikan tiang gol dipasang, diberatkan atau distabilkan dengan sewajarnya, walaupun mengetahui gelanggang itu turut digunakan kanak-kanak dan remaja.
Beliau berkata, syarikat itu sepatutnya menjangkakan pemain mungkin bersentuhan dengan tiang gol semasa perlawanan, tetapi gagal mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan tiang gol tumbang.
Bagaimanapun, syarikat itu dalam pernyataan pembelaan yang difailkan 28 Okt lalu mendakwa Haziq bergayut dan berayun pada tiang gol sambil menendangnya, termasuk bahagian penyokong belakang tiang berkenaan.
Menurut syarikat itu, berat badan serta momentum remaja berkenaan menyebabkan tiang gol terbabit tumbang. Tegasnya, tiang gol itu selamat digunakan mengikut tujuan asal dan tidak direka untuk dipasang secara kekal menggunakan skru pada lantai gelanggang.
Syarikat itu turut mendakwa Sahabir gagal mengawasi anak secukupnya, selain terdapat papan tanda amaran mengingatkan ibu bapa supaya memantau anak mereka dan pengunjung menggunakan kemudahan atas risiko sendiri.
Dalam jawapan difailkan 13 Nov lalu, Sahabir menafikan dakwaan syarikat itu dan menegaskan isu utama sama ada syarikat terbabit telah mengambil langkah sewajarnya untuk memastikan tiang gol berkenaan dipasang dengan selamat.
Beliau turut mendakwa syarikat itu mengambil pendirian bercanggah berhubung hak anaknya untuk menggunakan gelanggang berkenaan.
Menurut jawapan balas itu, peguam syarikat berkenaan dalam surat bertarikh 22 Jun menyatakan Haziq tidak berhak menggunakan kemudahan terbabit kerana bukan ahli dan menganggapnya sebagai penceroboh.
Sahabir berkata, pendirian itu bercanggah dengan pengakuan syarikat dalam pembelaannya kemudian bahawa taman rekreasi dan gelanggang futsal berkenaan terbuka kepada orang awam.
Beliau menuntut ganti rugi am RM150,000, pampasan kehilangan orang tersayang RM30,000 dan RM326,400 atas kehilangan sokongan kewangan masa depan, selain faedah serta kos guaman.
Syarikat itu mempertikaikan tuntutan berkenaan dengan berhujah tuntutan kehilangan sokongan kewangan masa depan bersifat spekulatif memandangkan Haziq baru berusia 14 tahun dan belum mula bekerja.
Pengurusan kes itu dijadualkan pada 27 Nov ini menerusi e-semakan di depan Hakim Mahkamah Sesyen, Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.
Sahabir diwakili peguam Navinjit Singh Golen dan T Ranusha, manakala Malcolm Fernandez mewakili syarikat terbabit.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.