PAS gesa kerajaan jelas mengapa pengampunan Najib tangguh

PAS menggesa kerajaan menjelaskan sebab Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan (LPWP) memutuskan untuk menangguhkan permohonan pengampunan bekas perdana menteri Najib Razak ke mesyuarat seterusnya.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata PAS beranggapan penangguhan tidak akan berlaku secara sendirinya melainkan terdapat permintaan dalam kalangan ahli LPWP.
“Justeru, PAS menuntut kerajaan segera menjelaskan perkara ini kepada umum kerana ia adalah suatu isu berkepentingan awam yang tidak wajar dihalang dari pengetahuan rakyat jelata,” katanya dalam kenyatan.
Prosiding lembaga pengampunan diklasifikasikan bawah Akta Rahsia Rasmi.
Pada Jumaat, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri berkata Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan menangguhkan permohonan Najib ke mesyuarat seterusnya.
Lembaga yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong itu dijangka mempertimbangkan permohonan pengampunan kedua Najib.
Najib, 72, disabitkan enam tahun lalu kerana menyeleweng RM42 juta dana SRC International. Beliau didenda RM210 juta dan dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, yang dijalaninya di Penjara Kajang sejak Ogos 2022.
LPWP kemudian mengurangkan hukuman penjaranya kepada enam tahun dan denda kepada RM50 juta.
Pada Disember tahun lalu, Najib disabitkan atas kesalahan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram melibatkan lebih RM2 bilion yang dikaitkan dengan 1MDB. Beliau dihukum penjara 15 tahun dan denda RM11.38 bilion. Najib sedang merayu terhadap sabitan itu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.