Mahkamah kurangkan pampasan bekas CEO dipecat secara tidak adil

Mahkamah Rayuan mengurangkan pampasan yang perlu dibayar oleh pengendali sebuah pusat perubatan swasta di Subang Jaya kepada bekas ketua pegawai eksekutifnya daripada RM810,000 kepada RM360,000 selepas membenarkan sebahagian rayuan syarikat itu berhubung award pemecatan tidak adil.
Hakim Ong Chee Kwan yang menyampaikan penghakiman bertulis, berkata mahkamah mengekalkan dapatan Mahkamah Perusahaan bahawa Karen Pamela Soh telah dibuang kerja oleh Quality Health Care Sdn Bhd tanpa sebab atau alasan yang adil, namun mendapati terdapat kesilapan dalam jumlah pampasan diberikan.
Panel itu turut dianggotai Hakim Ismail Brahim dan Dean Wayne Daly.
Award asal Mahkamah Perusahaan merangkumi RM720,000 tunggakan gaji, bersamaan gaji selama 24 bulan, serta RM90,000 sebagai ganti gaji bagi tempoh notis tiga bulan. Mahkamah itu turut memerintahkan syarikat membayar faedah tahunan sebanyak 5%.
Dalam keputusannya, Mahkamah Rayuan membatalkan award faedah dan bayaran ganti notis, selain mengurangkan separuh tunggakan gaji kepada RM360,000, bersamaan gaji selama 12 bulan.
Ong berkata Mahkamah Perusahaan gagal mengambil kira faktor berkaitan ketika memberikan tunggakan gaji maksimum selama 24 bulan, khususnya tempoh perkhidmatan Soh yang singkat serta tindakannya dalam kejadian yang membawa kepada pemecatannya.
Soh mula bekerja dengan syarikat itu pada Januari 2020 dengan gaji bulanan RM30,000. Beliau pada mulanya dilantik sebagai ketua pegawai operasi kumpulan sebelum menjadi ketua pegawai eksekutif. Berdasarkan tambahan kepada perjanjian pekerjaannya, status pekerjaannya sepatutnya bertukar secara automatik kepada tetap pada 1 Mei 2020.
Bagaimanapun, beliau pergi ke Kota Kinabalu pada 18 Mac 2020, hari pertama perintah kawalan pergerakan (PKP) dan terus berada di sana selepas penerbangan pulangnya dibatalkan.
Walaupun beliau terus menjalankan tugas dari jarak jauh, syarikat memaklumkan bahawa kontrak tempoh tetapnya telah tamat pada 30 April 2020 dan tidak akan disambung.
Mahkamah Rayuan bersetuju bahawa penamatan itu merupakan satu pemecatan kerana perjanjian pekerjaan berkenaan memperuntukkan pertukaran secara automatik kepada status pekerja tetap.
Mahkamah itu turut mendapati syarikat gagal membuktikan dakwaannya bahawa Soh tidak hadir bekerja tanpa kebenaran, sambil mengambil maklum bahawa beliau terus bekerja dari jarak jauh dan pembatalan penerbangan berada di luar kawalannya.
Bagaimanapun, Ong berkata tindakan Soh adalah relevan dalam menentukan jumlah tunggakan gaji yang wajar diberikan. Soh pergi ke Kota Kinabalu tanpa memaklumkan pengerusi syarikat, gagal memberitahunya dengan segera bahawa beliau tidak dapat pulang dan menunggu 17 hari selepas penerbangan keduanya dibatalkan sebelum membuat tempahan baharu.
Mahkamah berkata keadaan itu menunjukkan bahawa Soh turut menyumbang kepada hilangnya keyakinan syarikat terhadapnya, meskipun perkara tersebut tidak membuktikan salah laku yang didakwa.
“Kami telah menimbangkan semua perkara ini secara bersama,” kata Ong.
Tambahnya, tempoh perkhidmatan yang singkat dan tindakan Soh mewajarkan pengurangan yang besar, manakala cara pemecatannya yang tidak adil serta tempoh pengangguran yang panjang pula mewajarkan pemberian pampasan yang besar.
Mahkamah berpendapat pengurangan sebanyak 50% adalah adil kepada kedua-dua pihak. Mahkamah turut memutuskan bahawa bayaran ganti notis RM90,000 akan menyebabkan pampasan berganda kerana tunggakan gaji yang diberikan sudah merangkumi tempoh notis berkenaan.
Roger Chin dan Ariah Wani Karim mewakili syarikat itu, manakala Soh hadir mewakili dirinya sendiri. Peguam Kanan Persekutuan Jesseca Daimis bertindak bagi pihak Mahkamah Perusahaan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.