Umno tak boleh lepas tangan dalam krisis N Sembilan, kata pemimpin DAP

Barisan Nasional (BN) dan Umno tidak boleh melepaskan tanggungjawab mereka dalam krisis diraja Negeri Sembilan hanya dengan mengumumkan peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai menteri besar, kata seorang pemimpin DAP.
Naib Pengerusi DAP, Syahredzan Johan, berkata BN dan Umno dilihat cuba melepaskan diri daripada krisis itu sedangkan ahli mereka terlibat secara langsung, khususnya menerusi Ismail dan bekas anggota exconya.
“Apa yang sepatutnya menjadi pertikaian terhad dalam lingkungan istana kini bertukar menjadi krisis perlembagaan, politik dan pentadbiran yang menyeluruh sehingga melumpuhkan kerajaan negeri. Semua ini berpunca daripada tindakan seorang menteri besar daripada BN dan bekas exco daripada BN serta Perikatan Nasional.
“Di manakah akauntabiliti kepimpinan BN dan Umno? Adakah mereka berpakat dengan menteri besar dan bekas exco untuk menggulingkan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir?
“Jika tidak, mengapa tiada kenyataan yang menolak tindakan Adun Negeri Sembilan itu?” katanya kepada FMT.
Syahredzan, yang juga Ahli Parlimen Bangi, berkata Umno tidak boleh mengharapkan rakyat melupakan episod itu hanya dengan mendakwa Ismail telah meletakkan jawatan kononnya untuk ‘bertanggungjawab’ terhadap krisis berkenaan.
“Dengan kata lain, masih jauh perjalanan sebelum kita dapat mencapai penyelesaian kepada krisis ini, sama ada dengan cara ini atau sebaliknya.
“Sekurang-kurangnya, mereka perlu memohon ampun daripada Tuanku Muhriz atas tindakan mereka yang keterlaluan dan secara terus terang boleh dianggap sebagai penderhakaan terhadap Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan,” tambahnya.
BN mengumumkan peletakan jawatan Ismail sebagai menteri besar pada Isnin, sambil berharap langkah itu dapat ‘membuka lembaran baharu’ bagi memulihkan kestabilan politik di Negeri Sembilan dan memastikan kerajaan negeri kembali berfungsi dengan lancar.
Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata gabungan itu telah mengemukakan nama calon menteri besar baharu kepada istana.
Bagaimanapun, Istana Negeri Sembilan berkata pihaknya masih belum mengesahkan peletakan jawatan Ismail kerana surat yang didakwa berhubung perkara itu hanya dihantar kepada Istana Hinggap pada 12.16 tengah malam Selasa oleh seorang individu daripada sebuah firma guaman.
Menurut istana, berdasarkan perlembagaan negeri, menteri besar perlu mengemukakan peletakan jawatannya kepada Yang Dipertuan Besar dan peletakan jawatan itu hanya berkuat kuasa dengan perkenan baginda.
Peletakan jawatan luar biasa, dipersoalkan
Syahredzan berkata, sifat peletakan jawatan Ismail yang ‘sangat luar biasa dan boleh dipersoalkan’ menimbulkan beberapa persoalan. Beliau turut berkata BN dilihat tidak mematuhi prosedur sewajarnya apabila mendahului istana dalam mengumumkan peletakan jawatan Ismail.
Katanya, Ismail sendiri belum mengesahkan peletakan jawatannya, malah masih menjalankan tugas sebagai menteri besar meskipun BN membuat pengumuman pada Isnin.
“Seorang menteri besar baharu hanya boleh mengangkat sumpah sekiranya penyandang jawatan itu benar-benar telah meletakkan jawatan atau hilang kepercayaan majoriti Adun. Pada ketika ini, kedua-dua perkara itu belum dapat disahkan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.