Hasmah angkat martabat wanita, kata PAS

PAS menyifatkan Dr Hasmah Ali sebagai tokoh membantu menaikkan martabat wanita Malaysia dalam pelbagai bidang termasuk kesihatan, pendidikan, dan ekonomi sepanjang Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri.
Setiausaha Agung, Takiyuddin Hassan, berkata pemergiannya adalah kehilangan kepada keluarga serta seluruh rakyat Malaysia.
“PAS merakamkan ucapan takziah buat keluarga Dr Mahathir Mohamad atas pemergian isteri, ibu, dan juga nenek tercinta Dr Hasmah Ali di Institut Jantung Negara (IJN) pagi ini,” katanya dalam kenyataan.
Sementara itu, Ketua Penerangan PAS, Fadhli Shaari, menerusi hantaran di Facebook menganggap Hasmah tokoh wanita yang dihormati, selain dikenali melalui sumbangannya sebagai doktor dan tokoh masyarakat.
“Dalam perjalanan panjang kehidupan Dr Mahathir, Almarhumah sentiasa berada di sisi, melalui pelbagai fasa suka dan duka, ketika berada di puncak kepimpinan negara mahupun selepasnya,” katanya.
Hasmah, 100, meninggal dunia di IJN sekitar 9.25 pagi tadi. Berita pemergian itu disahkan anaknya, Mokhzani Mahathir.
Hasmah yang dilahirkan pada 12 Julai 1926 merupakan antara doktor wanita Melayu terawal di Malaysia dan pernah berkhidmat dalam bidang kesihatan awam sebelum aktif dalam pelbagai kegiatan kemasyarakatan, khususnya berkaitan kesihatan dan kebajikan.
Beliau berkahwin dengan Mahathir pada 5 Ogos 1956 dengan dikurniakan empat cahaya mata: Marina, Mirzan, Mokhzani, dan Mukhriz. Mereka juga mengambil tiga anak angkat: Melinda, Mazhar, dan Maizura.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.