The Daily Newsstand · Free, Always
Friday, September 11, 2026

Usaha satukan Melayu gagal kerana tuntutan kerusi bertindih, kata Ketua Umno Tampin

Translate

Kegagalan usaha terdahulu untuk menyatukan parti-parti Melayu berpunca terutamanya daripada perselisihan mengenai pembahagian kerusi, kata Ketua Umno Tampin Isam Isa.

Ketika membahaskan ucapan dasar Presiden Umno pada perhimpunan agung parti di sini hari ini, Isam berkata rundingan kerusi sukar dilakukan kerana kekuatan Umno dan PAS berbeza mengikut negeri.

“Sebagai orang parti, saya mengakui perkara ini sukar dan bukan mudah untuk diterima kerana ada negeri Umno kuat dan ada juga negeri PAS kuat,” katanya.

Beliau berkata Umno Negeri Sembilan sanggup mengorbankan kerusi yang berpotensi dimenangi seperti Gemas, Klawang dan Sikamat demi kepentingan penyatuan politik Melayu yang lebih besar, walaupun calon berpotensi bagi kerusi berkenaan sudah dikenal pasti.

“Persefahaman tidak akan berlaku jika kita ambil semua kerusi dan tiada tolak ansur,” katanya.

Beliau berkata langkah itu membuahkan hasil apabila Umno akhirnya kembali menerajui kerajaan Negeri Sembilan.

Isam menggesa Umno kekal sebagai parti yang dibina atas kesetiaan dan bukannya jawatan, dengan anggota parti terus komited walaupun Umno tidak berkuasa.

“Umno tidak pernah dibina atas jawatan. Umno dibina atas kesetiaan, pengorbanan dan disiplin dalam perjuangannya.

“Setialah ketika berdepan kesukaran, terima kekalahan dan jangan tinggalkan parti ketika ia tidak berkuasa. Inilah yang membezakan seorang pejuang dengan penumpang,” katanya.

Izam berkata mereka yang diberi peluang dan diamanahkan tanggungjawab melalui Umno mempunyai kewajipan moral dan politik untuk terus setia kepada parti.

Beliau turut mengkritik bekas pemimpin Umno, Puad Zarkashi dan Tengku Zafrul Aziz, dengan menuduh mereka menganggap parti itu seperti ‘stesen transit politik’.

Puad meninggalkan Umno pada Jun, tidak lama sebelum PRN Johor, selepas berkata beliau tidak akan mempertahankan kerusi DUN Rengit.

Tengku Zafrul meninggalkan Umno pada Mei 2025 dan menyertai PKR pada Ogos.

View the original on Free Malaysia Today

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.

Usaha satukan Melayu gagal kerana tuntutan kerusi bertindih, kata Ketua Umno Tampin — KioskNews