Kabinet Sabah lulus operasi 24 jam pelabuhan Sepanggar

Kabinet Sabah meluluskan operasi 24 jam bagi Pelabuhan Kontena Teluk Sepanggar (SBCP) untuk mengatasi isu kesesakan logistik, namun pelaksanaannya bergantung kepada kesediaan menyeluruh ekosistem industri serta jabatan dan agensi kerajaan terlibat.
Timbalan Ketua Menteri III Ewon Benedick yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan berkata, penyelarasan rantaian bekalan amat penting kerana di sebalik dasar itu, sebahagian besar depoh dan kilang tempatan masih belum bersedia beroperasi sepanjang masa.
“Saya melihat kesesakan pelabuhan ini sebagai petunjuk positif bahawa aktiviti ekonomi Sabah pesat berkembang, namun kita perlu memastikan seluruh ekosistem pengangkutan bersedia sebelum waktu operasi penuh dikuatkuasakan.
“Walaupun syarikat gergasi seperti kilang SBH Kibing Solar di Kudat beroperasi 24 jam dengan 86% pekerjanya anak tempatan, tetapi ada destinasi kilang lain dan depoh kontena masih menamatkan operasi seawal 5 petang,” katanya kepada pemberita di sela-sela Konvensyen Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dirasmikan pengerusinya, Ketua Menteri Hajiji Noor di Dewan Tun Mustapha hari ini.
Bagi merungkai cabaran itu, beliau kini mempengerusikan mesyuarat bulanan pasukan petugas bersama agensi kerajaan dan pemain industri perkapalan untuk memantau pelaksanaan 10 pelan tindakan interim termasuk penyediaan zon parkir treler sementara di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).
Ewon berkata, pasukan petugas itu akan memastikan kelancaran operasi pelabuhan sementara menantikan projek pembesaran fizikal SBCP yang kini mencapai tahap kemajuan 68.1% disiapkan sepenuhnya menjelang Oktober 2027.
“Lonjakan volum perdagangan menyaksikan pengendalian kontena Sabah Ports Sdn Bhd meningkat 6.07% kepada 532,391 TEU pada 2025 dengan SBCP mengendalikan 74.6% atau 396,964 TEU, sebelum mencatatkan 416,854 TEU dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini,” katanya.
Menyentuh inisiatif di bawah teras ‘Sabah First’, beliau mengumumkan Kabinet Sabah meluluskan dasar baharu pada Ogos lepas membenarkan syarikat tempatan melunaskan sewaan tanah perindustrian KKIP secara tahunan selama 30 tahun berbanding ketetapan lama yang menuntut bayaran penuh dalam tempoh dua tahun.
Bagi membantu modal pusingan usahawan, kementeriannya kini merintis kerjasama strategik bersama Credit Guarantee Corporation (CGC) dan Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) untuk menyediakan jaminan pembiayaan komersial kepada syarikat tempatan yang mahu melabur di taman perindustrian.
Ewon berkata, keyakinan pelabur terhadap potensi negeri terbukti kukuh apabila Sabah merekodkan kelulusan pelaburan pembuatan bernilai RM25.59 bilion merangkumi 101 projek serta menjana 9,157 peluang pekerjaan sepanjang September 2020 hingga Jun 2026.
Menurutnya, aliran masuk modal tersebut diterajui oleh pelaburan langsung asing (FDI) berjumlah RM19.60 bilion dan pelaburan langsung domestik (DDI) sebanyak RM5.99 bilion, sekali gus menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pembuatan bernilai RM6.4 bilion pada 2025.
Sejajar dengan matlamat Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0, kerajaan negeri menyasarkan sumbangan sektor pembuatan kepada KDNK meningkat antara RM7.5 bilion hingga RM8.0 bilion dengan sasaran pelaburan baharu antara RM8 bilion hingga RM10 bilion.
Pertumbuhan itu bakal disokong projek mega di Taman Perindustrian Minyak dan Gas Sipitang (SOGIP) merangkumi pelaburan keluli hijau Esteel bernilai RM6.59 bilion dan loji gas asli cecair terapung PFLNG 3 bernilai RM12 bilion yang dijadualkan beroperasi pada suku keempat 2027.
Bagi memperluas zon ekonomi baharu, kerajaan negeri memulakan proses pengambilan tanah bagi membangunkan Taman Perindustrian Kota Belud seluas 13,436 ekar (5,437 hektar) untuk teknologi tinggi di samping menyediakan pelan induk Taman Perindustrian Ekonomi Biru Kudat seluas 1,200 ekar (485.6 hektar).
Dalam rantaian minyak dan gas, Ewon berkata Pelan Hala Tuju Perkhidmatan dan Peralatan Minyak dan Gas (OGSE) Sabah 2026–2030 digerakkan bagi membolehkan lebih banyak vendor tempatan merebut peluang melangkaui 499 kontrak perkhidmatan yang telah dicapai setakat ini.
Pada peringkat akar umbi, kementeriannya mengukuhkan kedudukan 71,219 firma perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui skim bantuan SME-UP kepada 5,879 penerima selain bakal menganjurkan sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil di Beluran, Kota Marudu, Membakut serta Kota Belud.
Bagi menjamin kesalinghubungan jangka panjang, kementeriannya kini memuktamadkan Terma Rujukan bagi penyediaan Pelan Induk Pengangkutan dan Logistik Bersepadu Sabah (SSTMP) meliputi mod darat, laut dan udara dengan sokongan siling pembangunan RM500.1 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.