Polis Thailand rampas RM2.5 juta syabu cuba diseludup ke Kelantan

Polis Thailand merampas 50kg syabu bernilai kira-kira RM2.5 juta yang dipercayai cuba diseludup ke Malaysia melalui Kelantan dalam operasi di Tak Bai, bertentangan Pengkalan Kubor, Sabtu lalu.
Ketua Polis Narathiwat, Prayong Kotsakha, berkata dadah itu disimpan dalam tiga guni mencurigakan yang ditinggalkan di tepi laluan Ban Khae Bae-Pa Dado, daerah Tak Bai.
“Hasil pemeriksaan mendapati guni berkenaan mengandungi 50kg dadah kategori satu yang dikenal pasti sebagai syabu.
“Kami mengesyaki dadah itu hendak diseludup ke Malaysia melalui Kelantan dengan dibawa menyeberangi Sungai Golok,” katanya menurut Harian Metro.
Beliau berkata, polis bersama pasukan siasatan narkotik sedang mengumpul bukti forensik dan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di laluan berhampiran bagi mengenal pasti individu terbabit.
Jelasnya, tiada tangkapan dilakukan dalam operasi itu dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti anggota sindiket.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.