‘Barisan Alternatif’ PH-PAS tanpa DAP berisiko pecah undi Melayu, kata penganalisis

Cadangan supaya Anwar Ibrahim menghidupkan semula kerjasama seperti Barisan Alternatif (BA) bersama PAS tanpa DAP boleh memakan diri kerana berisiko memecahkan undi Melayu dan menghakis sokongan bukan Melayu, menurut penganalisis.
Syaza Shukri berkata PAS juga tiada alasan kukuh meninggalkan kerjasama dengan Umno yang dilihat lebih menguntungkan parti berkenaan, berdasarkan kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) di Negeri Sembilan serta Melaka.
Menurut ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) itu, kerjasama PAS dengan Umno berpotensi meraih sehingga 80% undi Melayu, sekali gus menjadikan cadangan menyertai gabungan baharu kurang menarik kepada parti Islam itu.

Beliau berkata gabungan baharu antara PAS dengan Pakatan Harapan (PH) tanpa DAP pula menyebabkannya masih perlu bersaing dengan BN terutama Umno bagi mendapat sokongan pengundi Melayu.
“Jadi undi Melayu akan terbahagi, manakala undi bukan Melayu akan ke DAP,” katanya kepada FMT.
Menerusi program audio siar Keluar Sekejap disiarkan semalam, bekas ketua pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata Anwar mungkin dapat menyelamatkan kedudukan politiknya dengan menghidupkan semula kerjasama seperti BA bersama PAS tanpa DAP.
Beliau berpandangan PH memerlukan sokongan pengundi Melayu yang lebih besar selepas kekalahannya pada PRN Melaka dan kerjasama dengan PAS mungkin menjadi satu-satunya pilihan strategiknya.
BA digerakkan pada PRU 1999 pasca gerakan reformasi susulan pemecatan Anwar sebagai timbalan perdana menteri, ia menghimpunkan Parti Keadilan Nasional (kini dikenali sebagai PKR), DAP, PAS dan Parti Rakyat Malaysia.
Bagaimanapun, Syaza tidak menolak kemungkinan kerjasama itu terjalin atas agenda antirasuah, seperti pernah menjadi asas perjuangan BA menentang kerajaan BN suatu ketika dahulu.
“Sekarang baik PAS atau Anwar dikaitkan dengan BN yang mempunyai skandal sendiri, mungkin mereka boleh menjauhkannya dengan bekerjasama,” katanya.
Kerusi, royalti minyak boleh tarik PAS?
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) pula berpandangan PAS mempunyai beberapa alasan politik untuk mempertimbangkan kerjasama dengan kerajaan, termasuk peluang memperoleh lebih banyak kerusi majoriti Melayu dan jawatan Kabinet.
Katanya, kerjasama PAS dengan BN berpotensi berdepan cabaran pembahagian kerusi kerana kedua-dua parti mempunyai kepentingan bertanding di kawasan sama, khususnya di negeri SG4 iaitu Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Berapa banyak kerusi yang akan ditandingi PAS dan berapa pula untuk Umno, khususnya di negeri-negeri SG4? Itu antara cabaran yang perlu dihadapi.
“Namun, jika PAS bekerjasama dengan Anwar Ibrahim, sudah pasti PAS akan mendapat lebih banyak kawasan majoriti Melayu kerana Anwar atau PH boleh memberi laluan kepada PAS di kawasan berkenaan,” katanya.
Beliau berkata, penyelesaian tuntutan royalti minyak untuk Kelantan dan Terengganu juga boleh menjadi dorongan strategik, selain manfaat pembangunan mungkin diperoleh negeri SG4 melalui hubungan lebih rapat dengan kerajaan Persekutuan.
“Tawaran royalti minyak sudah pasti akan meningkatkan keyakinan PAS untuk bekerjasama dengan Anwar,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.