Kabinet lulus suruhanjaya pendidikan tinggi bersama Malaysia-China

Kabinet meluluskan penubuhan Suruhanjaya Bersama Pendidikan Tinggi Malaysia-China sebagai platform memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi antara kedua-dua negara.
Menteri Pendidikan Tinggi Zambry Abd Kadir berkata persetujuan penubuhan suruhanjaya itu sudah ditandatangani, dengan mesyuarat melibatkan kedua-dua negara akan diadakan setiap tahun.
Katanya, mesyuarat pertama dijadualkan berlangsung di China tahun depan selepas ditangguhkan daripada tahun ini bagi memberi laluan kepada beberapa urusan yang perlu diselesaikan di Malaysia.
“Ini merupakan langkah-langkah ke hadapan dalam pengantarabangsaan pendidikan tinggi Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Festival Idea Putrajaya (FOI Putrajaya).
Mengulas penganjuran FOI Putrajaya yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 Nov, Zambry berkata acara yang memasuki tahun ketiga itu berjaya meletakkan Malaysia sebagai pusat rujukan utama dalam bidang pendidikan.
Beliau berkata festival itu turut dihadiri menteri dari Uzbekistan, Filipina, Indonesia dan Kazakhstan, selain menyaksikan perbincangan penyelidikan melibatkan lapan negara menerusi University Network for Research Cooperation (iUNRC).
“Di sinilah kita hendak wujudkan satu budaya baharu dalam masyarakat supaya generasi kita dapat berfikir dan menghasilkan idea yang baik untuk pembangunan negara pada masa kini dan akan datang,” katanya.
FOI 2026 yang berlangsung hingga 19 Nov menghimpunkan pembuat dasar, ahli akademik, pakar, wakil industri dan masyarakat untuk berkongsi idea serta penyelesaian inovatif terhadap cabaran semasa.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.