PAS perlu umum calon PM sebelum PRU16, bukan tunggu menang

PAS perlu memperkenalkan calon perdana menteri sebelum PRU16 supaya pengundi dapat menilai kemampuan bakal pemimpin negara, bukan hanya mengetahuinya selepas Perikatan Nasional (PN) menang pilihan raya, kata penganalisis.

Syaza Shukri daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, PAS mungkin hanya mengumumkan calon jika PN menang dan gabungan itu bersetuju jawatan perdana menteri diberikan kepada wakil parti tersebut.
“PAS dilihat tidak mahu terburu-buru, namun pengundi berhak mengetahui siapa yang bakal memimpin negara jika mereka memberikan undi kepada parti itu,” katanya kepada FMT.
Syaza tidak menjangkakan PAS mengetengahkan calon sendiri dalam masa terdekat, malah calon berpotensi mungkin datang daripada Parti Wawasan Negara (Wawasan) atau Umno.
Namun, katanya masih ada masa untuk PAS mengumumkan calonnya.
Beliau menyifatkan kenyataan Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Che Sulaiman, parti itu mempunyai pemimpin layak tetapi belum tiba masa mengumumkan calon perdana menteri sebagai retorik untuk meyakinkan penyokong.

Sementara itu, Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri dari Global Asia Consulting berkata, pilihan raya peringkat persekutuan berbeza daripada negeri kerana pengundi bukan sahaja memilih parti, tetapi mahu mengetahui siapa akan menerajui negara.
Katanya, pengumuman terlalu awal boleh mencetuskan persaingan dalaman PAS dan menyukarkan rundingan dengan komponen PN lain. Namun, jika terlalu lewat, parti itu berisiko kehilangan peluang membina profil calonnya sebagai pemimpin nasional.
“Calon PM bukan nama yang ditampal pada poster selepas kemenangan. Beliau mesti menjadi jawapan kepada persoalan rakyat sebelum undi diberikan,” katanya.
Syahir sebelum ini mengambil contoh Terengganu, Kedah, Kelantan dan Perlis yang diterajui pemimpin PAS, dengan menegaskan mereka dipilih berdasarkan kelayakan dan keupayaan, bukan kerana meminta jawatan.
Bagaimanapun, Zaharuddin berkata pengalaman sebagai menteri besar tidak secara automatik menjadikan seseorang calon perdana menteri yang meyakinkan kerana kepimpinan persekutuan memerlukan keupayaan mengurus ekonomi, rundingan politik dan masyarakat majmuk pada skala lebih besar.
Beliau berkata, PAS tidak perlu mengumumkan calon dengan segera, tetapi wajar menetapkan garis masa munasabah untuk berbuat demikian. Syaza pula berpandangan keputusan itu bergantung pada persetujuan dalam PN.
Ahmad Samsuri Mokhtar dan Hamzah Zainudin antara nama yang pernah diketengahkan PAS sebagai calon perdana menteri.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.