InquirerVeloso, family get P50,000 aid from gov’tESPN DeportesLa nueva generación del Team USA despierta la ilusión de PochettinoESPN2026 WNBA playoffs: Takeaways from every Game 1 on SundayThe Jerusalem PostRubio says foreign actor involved in RAF Fairford bomb plot, Trump criticizes release of suspectsDaily MaverickMaxhosa Africa brings pan-Africanism to Paris Fashion WeekSözcüFon soruşturmasında yeni perde: Mustafa Sandal ve eşinin planı ortaya çıktı!Wirtualna PolskaPeter Magyar stracił immunitet. Jest decyzja parlamentuHet Laatste NieuwsRode Duivels krijgen vrije dag, Diego Moreira geschorst voor match tegen Turkije7sur7Shein dévisse de plus de 11% en Bourse, après des résultats morosesHabertürkFenerbahçe'nin yıldızı baba oluyorLenta.ruУстановлена подрывница пассажирского поезда в российском регионеDaily MailLabour minister claims that visions of Britain based on warm ale, pubs, and black labradors are a 'far-Right' fantasy that 'never really existed'
The Daily Newsstand · Free, Always
Tuesday, September 29, 2026

Mengapa perpecahan multikoalisi mutlak berlaku dalam PRU16

Translate

Di Semenanjung, laluan ke Putrajaya tidak pernah berubah: sesiapa yang menguasai wilayah geopolitik Melayu, dialah yang menguasai kerajaan persekutuan.

Unjuran demografi membabitkan 165 kerusi Parlimen di Semenanjung dengan jelas menetapkan medan tempur PRU16. Angka tidak pernah menipu. Sebanyak 86 kerusi merupakan kubu kuat Melayu tegar (komposisi 65% ke atas), 32 kerusi majoriti Melayu sederhana (51 hingga 64%), manakala baki 47 kerusi lagi adalah kawasan campuran atau majoriti bukan Melayu. Hakikatnya, 86 kerusi majoriti mutlak inilah yang memegang kunci kuasa.

Berdekad lamanya, 86 kerusi emas ini menjadi medan perang eksklusif antara Umno dan PAS. Namun, PRU16 bakal merobek tradisi dwipolar ini. Survival Bersatu yang semakin tersepit, ditambah pula dengan retaknya tembok perkongsian kuasa antara Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN), sedang mengheret wilayah tradisi ini ke kancah anarki politik yang belum pernah disaksikan sebelum ini.

Untuk memahami mengapa konsensus kini mustahil dicapai, kita wajib melihat impak struktural PRU15. Penangan ‘gelombang hijau’ menyaksikan Perikatan Nasional (PN)—digerakkan sepenuhnya oleh jentera agresif PAS—menyapu bersih 14 kerusi di Kelantan dan lapan di Terengganu, sebelum melumatkan kubu lawan di Perlis dan Kedah. PN melonjak mendadak dengan 73 kerusi, manakala BN yang ditunjangi Umno tersungkur ke bumi apabila sekadar mampu mempertahankan 30 kerusi.

Kini, PAS berada di puncak keangkuhan geopolitik melalui penguasaan mutlak blok ‘SG4’. Dari sudut realpolitik, adalah satu ilusi untuk menjangkakan PAS akan menyerahkan wilayah taklukannya secara sukarela kepada Umno yang masih teraba-raba dalam fasa pemulihan.

Krisis blok pembangkang pula semakin parah apabila Bersatu kini hilang taring. Parti yang dahulunya megah sebagai ‘kingmaker'—merapatkan jurang pengundi Melayu konservatif dan urban—kini mereput akibat fragmentasi dalaman. Kehadiran konfigurasi baharu seperti Parti Wawasan Negara semakin melonggarkan cengkeraman Bersatu di kerusi tradisi PN.

Melihat kelemahan ini, PAS tanpa teragak-agak meminggirkan Bersatu untuk berunding secara terus dengan Umno. Di Pahang, PAS sudah pun menggerakkan jentera di kawasan milik Bersatu. Bagi PAS, Bersatu bukan lagi rakan kongsi yang setaraf, melainkan liabiliti strategik yang membebankan. Percaturan ini mengubah formula matematik politik secara total: jika PAS menelan Bersatu demi membahagi zon Melayu dengan Umno, pertembungan sengit ‘zero-sum game’ akan meletus demi menuntut hak mutlak sebagai wakil tunggal naratif Melayu-Islam.

Di seberang parit, kerajaan perpaduan sedang berdepan igauan eksistensial. Pakatan antara PH pimpinan Anwar Ibrahim dan BN teraju Zahid Hamidi terbina atas dasar talian hayat pasca-PRU15, bukannya atas keserasian ideologi. Apabila amarah akar umbi Umno kini mencecah tahap kritikal, jangka hayat pakatan ini semakin menghampiri titik penamat.

Penyokong tegar Umno tidak akan sesekali selesa tidur sebantal dengan PH, terutama DAP. Demi mengelakkan kepupusan dalam PRU16, Umno terdesak membuktikan kepada orang Melayu bahawa maruah perjuangan mereka tidak digadaikan demi kuasa. Kesannya, Umno mula bermain dua kolam, termasuk membuka pintu belakang untuk berunding dengan PAS bagi meneroka pakatan alternatif Melayu-Islam.

Namun, strategi dwipostur ini adalah bom jangka yang menanti masa untuk meledak.

Umno mustahil mampu berkempen demi PH di kawasan urban, tetapi pada masa yang sama mahu merampas wilayah luar bandar daripada PAS. Sebaik sahaja agihan kerusi bermula, percanggahan matlamat ini akan melumpuhkan terus jentera kempen BN. Dalam sistem Westminster, angka adalah segala-galanya. Umno didorong oleh dendam untuk merampas semula dominasi sejarahnya, manakala PAS, sebagai gergasi baharu di peringkat Persekutuan, tidak mempunyai sebarang sebab untuk tunduk mengalah tanpa menuntut bahagian kuasa terbesar.

Mengharapkan jalan damai atau konsensus mudah dalam agihan kerusi PRU16 adalah satu kepandiran politik. Realiti semasa memberi amaran keras: apabila semboyan pilihan raya berbunyi, pertempuran merebut jantung politik Melayu akan bertukar menjadi perang pelbagai penjuru yang kejam. Parti yang gagal menilai semula formula survival mereka bakal berdepan hukuman mati politik daripada pengundi akar umbi.

Penulis ialah pembaca FMT.

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.

View the original on Free Malaysia Today →

KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.