UM nafi ambil tindakan tatatertib terhadap mahasiswa susulan iFUTURE 2026

Universiti Malaya (UM) menafikan dakwaan bahawa tindakan tatatertib diambil terhadap seorang mahasiswa susulan persoalan dan pandangan yang disuarakannya pada sesi Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa (iFUTURE 2026), baru-baru ini.
Naib Canselor Noor Azuan Abu Osman berkata universiti itu sentiasa menghormati hak mahasiswa untuk bertanya dan menyuarakan pandangan.
“Saya ingin menjelaskan bahawa tiada sebarang tindakan tatatertib diambil terhadap mahasiswa berkenaan. Sehubungan dengan itu, dakwaan yang tersebar mengenai perkara ini adalah tidak benar,” menurut kenyataan.
Beliau berkata platform seperti iFUTURE 2026 yang diwujudkan oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menjadi ruang penting bagi mahasiswa berdialog secara langsung dengan kepimpinan universiti.
“Bagi saya, perbezaan pandangan bukanlah suatu ancaman, sebaliknya sebahagian daripada budaya intelektual yang perlu terus dipupuk. Kita mungkin tidak sentiasa bersetuju dalam semua perkara, namun mahasiswa perlu diberikan ruang untuk bersuara dan didengari,” katanya.
Sidang kemuncak tiga hari bermula 11 hingga 13 Okt itu menghimpunkan 1,231 pemimpin mahasiswa terdiri daripada 813 peserta Malaysia dan 418 delegasi antarabangsa dari 60 negara, bagi memperkukuh jaringan kepimpinan mahasiswa antarabangsa menerusi wacana intelektual dan libat urus strategik.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.