Desak singkir Umno dari Kabinet atas pengampunan Najib, DAP diberitahu

Bekas pemimpin DAP, Ong Kian Ming berkata parti itu wajar memberi kata dua kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dan mendesaknya menyingkirkan Umno daripada Jemaah Menteri selepas bekas perdana menteri, Najib Razak mendapat pengampunan bersyarat.
Beliau berkata, DAP perlu membuktikan pembebasan Najib merupakan “garisan merah” bagi mereka kerana penyokong menjangkakan parti itu akan bertindak balas dengan mengambil tindakan konkrit.
Jelasnya, DAP perlu menuntut Anwar menyingkirkan Umno daripada Jemaah Menteri sebelum mesyuarat seterusnya untuk menunjukkan keseriusan Pakatan Harapan menolak tindakan Umno berusaha mendapatkan pengampunan bagi Najib serta mengumpul dana bagi membayar denda RM50 juta bekas presidennya.
“Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden Umno, Zahid Hamidi secara terbuka mencabar Anwar menyingkirkan ahli Kabinet daripada Umno sejak beberapa bulan lalu.
“Ini peluang terbaik untuk Anwar menyahut cabaran Zahid,” katanya dalam catatan Facebook sambil menambah Belanjawan 2027 masih boleh diluluskan tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen Barisan Nasional.
Ong berkata, kata dua itu perlu disertakan tarikh akhir mesyuarat Jemaah Menteri atau ia sekadar kenyataan dangkal dan bukannya ancaman berwibawa.
Bekas Ahli Parlimen Bangi itu berkata, langkah berkenaan lebih masuk akal berbanding tindakan DAP meletak jawatan dalam Jemaah Menteri.
Menurutnya, tidak adil menyalahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh yang menganggotai Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kerana keputusan pengampunan merupakan hak prerogatif Yang di-Pertuan Agong.
“Jika ada yang patut letak jawatan segera, orang itu mungkin ialah Nga Kor Ming yang pernah berkata dalam satu wawancara sebelum PRN Johor bahawa beliau akan melepaskan jawatan menteri jika BN menang besar di Johor dan Najib dibebaskan.”
Ong berkata, DAP juga boleh mengugut akan menarik sokongan terhadap kerajaan secara keseluruhan, tetapi langkah itu mungkin membawa kepada pembubaran Parlimen kerana Barisan Nasional dijangka melakukan perkara sama untuk Anwar hilang sokongan majoriti.
Bagaimanapun, katanya, tindakan itu lebih berisiko kerana boleh menggugat asas PH dan menimbulkan persoalan sama ada DAP wajar terus kekal dalam gabungan berkenaan.
“Tetapi, jika isu 1MDB dan tahanan rumah Najib benar-benar merupakan ‘garisan merah’ DAP, maka DAP wajar keluar daripada Jemaah Menteri dan menarik diri daripada kerajaan perpaduan, jika Anwar tidak bersetuju dengan tuntutan ini.
“Dalam erti kata lain, jika DAP mahu memberikan kata dua sedemikian, lebih baik ia bertindak secara tuntas supaya penyokong tidak ragu-ragu dengan komitmennya terhadap ‘garisan merah’ ini.”
Jawatankuasa Eksekutif Pusat DAP akan bermesyuarat 3 petang ini bagi menentukan pendirian serta tindakan susulan parti itu berhubung pengampunan bersyarat Najib.
Umno perlu berhati-hati
Ong turut memberi amaran kepada Umno supaya berhati-hati dalam bertindak balas terhadap pengampunan bersyarat Najib sambil mengingatkan skandal 1MDB antara sebab utama kejatuhannya pada 2018.
Jelasnya, Umno tidak boleh mengambil mudah sokongan orang Melayu, walaupun mencapai kemenangan besar dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.
“Apa akan berlaku jika PAS dan Perikatan Nasional (PN) mengesan kelemahan sokongan awam terhadap Umno atas pendiriannya menyokong Najib tanpa mengakui kesilapan dalam skandal 1MDB?
“Adakah ini akan menyebabkan penilaian semula terhadap kemungkinan pakatan pilihan raya antara BN dan PN menjelang PRU akan datang?” soalnya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.