PM bakal undang Presiden Myanmar, percepat proses hantar pulang Rohingya

Perdana Menteri Anwar Ibrahim bakal mengundang Presiden Myanmar Min Aung Hlaing melawat Malaysia secara rasmi bagi mempercepatkan proses penghantaran pulang kira-kira 200,000 pelarian Rohingya di negara ini.
Anwar berkata, langkah diplomatik itu diambil bagi mencari penyelesaian jangka panjang berhubung isu pelarian Rohingya yang semakin menimbulkan keresahan dan kemarahan masyarakat tempatan.
Menurutnya, menerusi rundingan awal yang diadakan sebelum ini, kerajaan Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya secara berperingkat, dengan kumpulan pertama seramai 1,500 orang akan dihantar pulang dalam satu dua minggu ini.
“Saya undang dan saya nak bagitahu, kita boleh bersahabat, kita boleh berdagang… tapi Myanmar mesti terima (kembali pelarian mereka).
“Kalau tak boleh 100,000 atau 200,000 sekaligus, ambil berperingkat,” katanya dalam audio siar Sembang Oh Yeah tadi.
Menteri kewangan itu berkata, Malaysia bersedia menanggung kos logistik seperti pakaian, makanan, dan tambang kapal bagi proses penghantaran pulang tersebut.
Katanya, ia lebih menjimatkan berbanding menanggung kos pengurusan pelarian di depoh tahanan yang mencecah RM50 hingga RM200 sehari bagi setiap orang.
Mengulas lanjut, Anwar turut mengingatkan bahawa isu lambakan pelarian tersebut berpunca daripada tindakan kepimpinan kerajaan terdahulu yang menganjurkan perhimpunan besar-besaran mengalu-alukan kehadiran mereka suatu ketika dahulu.
“Yang bawa orang lain, yang kena marah saya. Sekarang bila dah jadi beban, kita cari jalan keluar secara diplomasi,” katanya.
Julai lalu, Anwar dilaporkan berkata Myanmar bersetuju menerima semula 5,000 pelarian Rohingya yang kini berada di Malaysia hasil rundingan diplomatik antara kedua-dua negara.
Katanya, persetujuan itu langkah awal ke arah menangani isu pelarian Rohingya, selain membantu memastikan ketenteraman awam di Malaysia terus terpelihara.
Menurut Anwar, perkembangan itu membuktikan isu pelarian tidak boleh diselesaikan hanya dengan desakan supaya mereka dihantar pulang kerana Myanmar sebelum ini enggan menerima mereka.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.