Buka konsesi bekal kenderaan: Persatuan saran ambil langkah cegah ‘kartel’

Pembukaan konsesi pembekalan kenderaan kerajaan kepada lebih banyak syarikat berpotensi merancakkan persaingan, namun persatuan antirasuah mencadangkan kerajaan mengambil langkah-langkah mencegah kewujudan ‘kartel’.
Pertubuhan Integriti dan Antirasuah Malaysia mencadangkan sistem tapisan berlapis sebelum sesuatu syarikat menyertai tender dan sebelum kontrak diberikan, termasuk mewajibkan pendedahan pemilik benefisial atau pemilik sebenar syarikat bagi mengenal pasti sama ada syarikat-syarikat yang menyertai tender dimiliki atau dikawal oleh individu atau kumpulan yang sama.
Kerajaan juga perlu melaksanakan pemeriksaan konflik berkepentingan secara menyeluruh melibatkan pengarah, pemegang saham utama, dan pihak yang mempunyai kawalan terhadap syarikat “bagi mengenal pasti hubungan dengan pegawai yang terlibat dalam proses tender, pembuat keputusan atau pihak yang mempunyai kepentingan politik”.
Selain penilaian tender oleh jawatankuasa bebas dan pemantauan kontrak secara berterusan dan audit berkala, kerajaan juga perlu menggunakan analisis pola tender untuk mengesan kemungkinan kartel atau manipulasi bidaan.
“Jika tapisan pemilikan syarikat, konflik kepentingan, pengesanan kartel dan pemantauan kontrak tidak diperketatkan, kita mungkin hanya menyaksikan monopoli lama digantikan dengan kartel baharu,” kata Presiden Fauzi Husin kepada FMT.
Kelmarin, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) menyarankan kerajaan memecahkan ‘monopoli pembekalan kenderaan’ oleh syarikat konsesi tunggal dengan menawarkan konsesi kepada syarikat lain mengikut kategori kenderaan.
PAC turut mencadangkan konsesi pembekalan kenderaan diperluas kepada sektor kritikal dan penggunaan lasak seperti ambulans bagi memastikan ketersediaan serta penggantian pantas kenderaan kritikal sekiranya berlaku kerosakan atau kemalangan.
Saranan itu menyusuli siasatan PAC ke atas pengurusan kenderaan kerajaan di bawah Perjanjian Konsesi 2 selama 15 tahun antara Kementerian Kewangan dan Spanco Sdn Bhd.
Siasatan mendapati kelemahan pengurusan kontrak dan tadbir urus menyebabkan kelewatan penggantian kenderaan yang tamat tempoh pajakan, mengakibatkan kerajaan menanggung kos lebihan pajakan dan penyelenggaraan serta kelewatan mengenakan dan menuntut denda pembekalan kenderaan, lapor Malaysia Gazette.
Mengulas lanjut, Fauzi berpandangan kerajaan wajar mendedahkan terma utama kontrak kepada umum, termasuk nilai keseluruhan kontrak, tempoh konsesi, kaedah pengiraan kos, skop perkhidmatan, kriteria pemilihan syarikat, petunjuk prestasi utama, mekanisme penalsi, syarat penamatan kontrak dan tanggungjawab pihak-pihak berkaitan.
Turut dicadangkan penerbitan ringkasan kontrak dalam format yang mudah difahami oleh orang awam, laporan prestasi syarikat konsesi dan hasil audit berkala.
“Dalam urusan yang menggunakan wang rakyat, rakyat berhak mengetahui bagaimana wang itu dibelanjakan. Ketelusan bukan sekadar amalan yang baik, tetapi merupakan mekanisme pencegahan rasuah dan pengukuhan akauntabiliti,” katanya.
Pakar ekonomi, Ida Yasin di Putra Business School, berkata persaingan boleh mendorong syarikat menjadi lebih inovatif dan menawarkan khidmat terbaik pada kos munasabah, berbanding monopoli yang boleh membuatkan syarikat berasa selesa.
Menurutnya, pengguna menggemari persaingan kerana mempunyai lebih banyak pilihan sekiranya sesuatu syarikat gagal berprestasi, manakala syarikat pula lebih menyukai monopoli.
Ida bagaimanapun berkata monopoli tidak semestinya buruk.
“Jika dia satu syarikat yang menguruskan semua kenderaan ini, dia ada ekonomi bidangan. Maksudnya kos per unit lebih rendah berbanding apabila syarikat itu menguruskan setakat 300 sahaja. Cabaran kita sekarang ialah menentukan monopoli ini adalah monopoli yang baik,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.