Mat Sabu serah gaji menteri bantu NGO perjuang layanan saksama banduan

Presiden Amanah Mohamad Sabu mengumumkan menyerahkan keseluruhan gajinya sebagai menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkuat kusa serta-merta sehingga tempoh pembubaran parlimen penggal ini.
Beliau berkata langkah itu sebagai usaha membantu membiayai usaha NGO menegakkan keadilan berkaitan isu tahanan rumah membabitkan bekas Perdana Menteri Najib Razak.
Menurutnya, gaji bulanan sebagai menteri berjumlah RM11,900 akan disalurkan sepenuhnya kepada NGO yang terlibat dalam usaha berkenaan.
“Saya menyeru badan-badan bukan kerajaan, terutamanya NGO seperti Bersih, Majlis Peguam, Persatuan Peguam Syarie serta seluruh masyarakat sivil agar terus memperjuangkan prinsip kesaksamaan hak setiap warganegara sebagaimana dijamin Perlembagaan Persekutuan.
“Saya ingin menegaskan bahawa keadilan dalam negara ini mesti ditegakkan secara saksama tanpa mengira kedudukan, pangkat, pengaruh politik, mahupun latar belakang seseorang,” katanya sidang media pada program himpunan semarak tani bersama nelayan negeri Melaka di Taman Panglima Pak, Merlimau.
Mengulas sama ada cadangan itu dibuat sebagai tanda protes, Mohamad menegaskan beliau tidak mempunyai sebarang pertikaian peribadi dengan Najib mahupun keluarga beliau.
Mohamad berkata, beliau mahu prinsip keadilan dan kedaulatan undang-undang terus dipertahankan tanpa memberikan layanan istimewa kepada mana-mana individu berdasarkan kedudukan atau pengaruh.
“Saya tidak mempunyai sebarang masalah atau pertikaian peribadi dengan Najib Razak mahupun anggota keluarganya.
“Saya tidak mencabar sesiapa, saya hanya mengesyorkan supaya ada satu undang-undang nanti, kalau seseorang itu, tak kiralah apa kesalahan dia, kalau enam tahun (hukuman), tiga tahun dalam penjara, tiga tahun di rumah,” katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan memberikan peluang kepada semua banduan untuk menjalani separuh daripada tempoh hukuman di penjara, manakala separuh lagi menerusi tahanan di rumah.
Katanya, cadangan itu melibatkan semua jenis kesalahan dan bukan hanya tertumpu kepada individu atau kes tertentu.
Menurutnya, beliau akan berbincang dengan setiausahanya bagi menentukan NGO yang akan menerima sumbangan berkenaan untuk menggerakkan kempen, termasuk penganjuran forum, seminar dan perhimpunan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.