MCA adakan mesyuarat tergempar berkait agihan kerusi PRN Melaka

MCA akan mengadakan mesyuarat tergempar petang ini berhubung agihan kerusi PRN Melaka Barisan Nasional (BN) yang didakwa pimpinan parti itu masih belum selesai.
Sumber parti itu memberitahu mesyuarat berkenaan berlangsung di Wisma MCA, Kuala Lumpur.
“Setakat ini belum selesai lagi agihan kerusi.
“Semua kebarangkalian akan dibincangkan dan dinilai dari segi positif dan negatif.
“Pendek kata, tidak akan menolak sebarang kemungkinan,” katanya kepada FMT mengulas sama ada mesyuarat itu akan turut membincangkan kemungkinan parti itu bertanding logo MCA pada PRN Melaka, 14 Nov depan.
Sabtu lalu, pemimpin MCA diketuai Presidennya Wee Ka Siong bertindak meninggalkan majlis pengumuman calon BN untuk PRN Melaka kerana tidak berpuas hati dengan beberapa keputusan berkait pengagihan kerusi.
Wee dipetik berkata kerusi yang pernah ditandingi parti itu telah diberikan kepada parti lain tanpa sebarang rundingan, menerusi kerjasama BN terutama Umno dengan PAS.
MCA bertanding di tujuh kerusi pada PRN Melaka 2021, tetapi kali ini hanya diperuntuk Kelebang serta Machap Jaya yang dimenanginya dahulu.
Penyandang Kelebang dan Machap Jaya iaitu Lim Ban Hong dan Ngwe Hee Sem dipertaruhkan BN untuk mempertahankan kerusi berkenaan.
BN tidak mengumumkan calon di tujuh kerusi antaranya Bemban, Ayer Keroh, Bandar Hilir, Kota Laksamana dan Kesidang, kesemuanya ditandingi MCA, lima tahun lalu.
Semalam, Pengerusi BN Zahid Hamidi berkata perbincangan khas agihan kerusi gabungan itu bagi PRN Melaka dengan MCA selesai dan mencapai perkembangan positif.
Pengerusi BN Melaka Ab Rauf Yusoh turut menyifatkan rundingan berkenaan sebagai positif dan berkata kebuntuan antara kedua-dua pihak berjaya dileraikan, namun menyerahkan kepada MCA untuk mengumumkan hasil perbincangan itu.
Bagaimanapun, Wee menegaskan masih terlalu awal untuk menyifatkan rundingan dengan BN sebagai positif kerana parti itu belum mencapai matlamatnya.
Terdahulu, Malaysia Gazette melaporkan calon MCA hadir ke majlis penyerahan watikah calon BN di Wisma Dato’ Onn.
Zahid dalam hantaran terbaharu di Facebook membayangkan situasi dalam BN berada dalam keadaan baik.
“Don’t worry. All is well. Kita Geng Biru,” tulisnya sambil memuat naik gambar pertemuan dengan Wee.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.