Pimpinan Umno ambil maklum kecenderungan tumpu rundingan dengan PAS

Kepimpinan Umno ambil maklum kecenderungan dalam parti untuk menumpukan perbincangan dengan PAS berhubung kerjasama politik, berbanding dengan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki berkata kecenderungan itu boleh dilihat dalam perbahasan para perwakilan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) kali ini, yang akan berakhir hari ini.
“Sepertimana dalam pilihan raya-pilihan raya yang lepas, kita memang mengadakan perundingan dengan PAS dan juga PN,” katanya pada sidang media di tepian PAU 2026.
“Tetapi kalau kita lihat daripada perbahasan-perbahasan dan daripada perwakilan-perwakilan, wujud kecenderungan untuk kita memfokuskan perundingan dengan kepimpinan PAS berbanding dengan melihat dalam konteks PN itu sendiri.”
Asyraf berkata kepimpinan parti akan mengambil kira pandangan para perwakilan sebelum membentuk jawatankuasa rundingan.
Terdahulu, Umno Kedah mengumumkan ia akan memulakan perbincangan dengan PAS dan tidak dengan PN.
Sementara itu, Asyraf menepis anggapan bahawa kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan ibarat ‘retak menanti belah’, mengatakan Umno masih berpegang kepada perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan.
Katanya, perjanjian itu terpakai sehingga pembubaran Parlimen, dan selepas itu setiap parti bebas menentukan hala tuju masing-masing.
“Selagi mana kita belum sampai tempoh ataupun pilihan raya, asasnya kita tidak akan menebuk atap ataupun mengubah kerajaan ini dengan perubahan hanya sekadar perdana menteri, dan kita memikirkan soal kestabilan politik,” katanya.
Berhubung perjanjian yang dikatakan itu, Asyraf berkata suatu perjanjian melibatkan 18 parti dimaktubkan apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengangkat sumpah, dan perjanjian itu dinamakan ‘perjanjian pembentukan kerajaan perpaduan Malaysia’.
Asyraf berkata Umno dari awal menyebutkan perkara-perkara yang termaktub dalam perjanjian itu harus dihormati.
“Perkara pertama disebutkan (dalam perjanjian) bahawa kerajaan yang ditubuhkan ini mestilah dinamakan dengan ‘kerajaan perpaduan Malaysia’, dan kerajaan itu bukan kerajaan satu parti,” katanya.
“Maknanya kerajaan ini bukan kerajaan satu parti. Jadi perdana menteri mesti sentiasa merujuk kepada semua parti-parti yang membentuk kerajaan ini. Dia bukan macam kerajaan sebelum-sebelum ini.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.