Pengasuh, pengusaha taska diarah bayar ganti rugi RM65,000 berkait kes Baby Syifaa

Mahkamah Tinggi Seremban hari ini memerintahkan seorang pengasuh dan pengusaha pusat jagaan kanak-kanak membayar ganti rugi RM65,000 kepada keluarga seorang kanak-kanak yang dikenali sebagai Baby Syifaa, yang meninggal dunia ketika dalam jagaan mereka.
Mahkamah mendapati pengasuh, Khairunnisa Ahmad Damanhuri, dan kakaknya, Nadzirah, yang mengendalikan Taska My Mom Child Care Centre di Bandar Seri Sendayan, bertanggungjawab atas kecuaian yang menyumbang kematian kanak-kanak itu.
Kanak-kanak itu, yang nama sebenarnya Nour Rania Asyifaa Yuseri, meninggal dunia pada 22 Feb 2022 ketika berada di bawah jagaan taska berkenaan. Ketika itu, mangsa berusia setahun.
Ibu Nour Rania, Anida Idrus, memfailkan saman terhadap Khairunnisa dan Nadzirah pada 2025, dengan mendakwa mereka cuai kerana meletakkan Nour Rania di dalam buaian kain dan membiarkannya tanpa pengawasan.
Semasa perbicaraan, mahkamah dimaklumkan bahawa Khairunnisa meninggalkan Nour Rania tanpa pengawasan untuk menunaikan solat dan makan tengah hari.
Hakim Roz Mawar Rozain membenarkan tuntutan Anida terhadap pengasuh dan pemilik taska itu, memutuskan bahawa ibu mangsa berjaya membuktikan dakwaannya berdasarkan imbangan kebarangkalian.
Beliau memutuskan bahawa Khairunnisa gagal melaksanakan tahap penjagaan yang sewajarnya daripada seorang penjaga atau pengasuh yang diamanahkan untuk menjaga bayi.
“Seorang penjaga yang munasabah sekurang-kurangnya akan mengatur supaya penjaga lain mengambil alih tanggungjawab buat sementara waktu atau membuat pemeriksaan visual dengan cukup kerap.
“Kedua-dua langkah berjaga-jaga itu tidak diambil. Usaha untuk melaksanakan salah satu langkah itu tidaklah membebankan, sedangkan kemungkinan bayi terperangkap dalam buaian kain boleh membawa akibat yang serius,” kata Roz Mawar.
Berhubung Nadzirah, mahkamah memutuskan bahawa beliau tidak memeriksa keadaan Nour Rania sepanjang tempoh Khairunnisa tiada, malah tidak meminta sesiapa berbuat demikian.
“Sebuah pusat jagaan kanak-kanak perlu diuruskan dengan sistem yang membolehkan pengasuh memenuhi keperluan peribadi biasa tanpa membiarkan bayi tanpa pengawasan yang berkesan.
“Ketiadaan sesiapa yang boleh mengambil alih tugas buat sementara waktu menunjukkan kelemahan sistem pengurusan, bukannya keadaan yang tidak dapat dielakkan,” kata Roz Mawar.
Awal tahun ini, dalam prosiding berasingan, Khairunnisa dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM15,000 atas kesalahan cuai berhubung kematian Nour Rania.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.