Khidmat Kamarudin sebagai exco Kelantan dibincang Rabu

Kerajaan Kelantan akan membincangkan kedudukan Ketua Bersatu negeri Kamarudin Md Nor sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (exco) dalam mesyuarat Rabu ini.
Timbalan Menteri Besar, Mohamed Fadzli Hassan, berkata keputusan berhubung perkara itu akan dimaklumkan Menteri Besar Mohd Nassuruddin Daud selepas mesyuarat berkenaan.
“Tunggu mesyuarat exco Rabu nanti. Menteri besar akan maklumkan dan kita akan bincangkan.
“Keputusan akhirnya Rabu nanti,” katanya kepada FMT.
Fadzli mengulas khabar angin kerajaan negeri mahu menamatkan khidmat Kamarudin sebagai exco yang bertanggungjawab terhadap portfolio pelancongan, kebudayaan, seni dan warisan.
Terdahulu, Kamarudin berkata beliau masih belum menerima sebarang surat rasmi daripada kerajaan negeri berhubung perkara itu.
Kamarudin yang juga Adun Ayer Lanas berkhidmat sebagai exco negeri sejak Ogos 2023.
Beliau menerajui Bersatu selama 10 tahun.
Khabar angin itu timbul ketika kemelut politik antara PAS dan Bersatu berterusan, susulan keretakan kerjasama politik antara kedua-duanya.
Pada 8 Jun lalu, PAS mengumumkan keputusan untuk menamatkan semua kerjasama politik dengan Bersatu susulan mesyuarat khas Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.