Hak 40% Sabah, bayaran RM1.5 bilion dan formula belum dimuktamadkan

Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 7 Okt mengumumkan Sabah akan menerima bayaran interim geran khas sebanyak RM1.5 bilion tahun ini.
Anwar yang juga menteri kewangan berkata Putrajaya dan kerajaan Sabah turut berusaha memuktamadkan formula tetap bagi menentukan jumlah yang menjadi hak negeri itu daripada hasil Persekutuan seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.
Ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, Anwar mengakui bayaran geran khas kepada Sabah selama beberapa dekad tidak meningkat seiring keperluan pembangunan negeri itu.
“Kerajaan Madani telah menaikkannya sebanyak tiga kali,” katanya merujuk bayaran geran khas RM300 juta pada 2023 dan RM600 juta pada 2025.
“Kadar interim terkini ialah RM1.5 bilion dan akan dibayar sepenuhnya sebelum akhir tahun.
“Rundingan dengan Sabah dan Sarawak diteruskan bagi mendapatkan formula tahunan yang adil dan mampan,” katanya.
FMT meneliti apakah sebenarnya geran khas 40% itu, kepentingan bayaran RM1.5 bilion dan beberapa isu yang masih perlu diselesaikan.
Apakah geran khas 40%?
Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) ditandatangani kerajaan United Kingdom, Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara yang kini dikenali sebagai Sabah, Sarawak dan Singapura bagi membentuk Malaysia.
Perjanjian itu menetapkan aturan perlembagaan, kewangan dan pentadbiran bagi persekutuan baharu, termasuk beberapa perlindungan untuk Sabah dan Sarawak yang kemudian dimasukkan ke dalam Perlembagaan Persekutuan.
Antara perlindungan itu ialah geran khas 40% yang diperuntukkan menerusi Seksyen 2(1), Bahagian IV, Jadual Kesepuluh Perlembagaan Persekutuan.

Peguam Mazlianie Mohd Lan menyifatkannya sebagai hak di bawah Perlembagaan yang memberikan Sabah 40% daripada pertambahan hasil bersih yang dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri itu.
Tempoh tanpa semakan
Mengikut Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan, geran khas itu perlu dikaji semula setiap lima tahun oleh kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
Bagaimanapun, tiada kajian semula dibuat antara 1974 hingga 2021, satu tempoh yang digelar sebagai ‘lost years’ atau tahun-tahun terlepas. Sebaliknya, Sabah hanya menerima bayaran tetap RM26.7 juta setahun.
Pada 17 Okt 2025, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memutuskan dalam prosiding semakan kehakiman yang difailkan Sabah Law Society bahawa kerajaan Persekutuan gagal melaksanakan tanggungjawab perlembagaannya kepada Sabah kerana tidak menjalankan kajian berkala sepanjang tempoh berkenaan.
Hakim Celestina Stuel Galid mengarahkan kerajaan Persekutuan dan Sabah mengadakan rundingan secara terus bagi memuktamadkan jumlah yang perlu dibayar kepada Sabah untuk tempoh itu, dengan bayaran dibuat dalam tempoh 180 hari daripada tarikh penghakiman.
Bagaimanapun, perintah itu ditangguhkan Mahkamah Rayuan sementara menunggu keputusan rayuan Putrajaya. Rayuan berkenaan didengar pada 29 Okt lalu dan keputusan masih belum dibuat.
Sementara itu, Sabah menerima RM53.4 juta pada 2020 sebelum jumlah itu kembali kepada RM26.7 juta pada tahun berikutnya.
Pada 2022, satu perintah kajian semula menetapkan bayaran yang meningkat secara berperingkat, bermula RM125.6 juta.
Geran interim itu kemudian dinaikkan kepada RM300 juta pada 2023, RM600 juta pada 2025 dan RM1.5 bilion tahun ini.
Mengapa RM1.5 bilion penting?
Anwar dan Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor menyifatkan peruntukan tahun ini, jumlah tertinggi setakat ini, sebagai bukti komitmen untuk memuktamadkan mekanisme pengiraan geran khas tersebut.
Mazlianie berkata reaksi orang ramai terhadap bayaran itu bercampur.
Ada yang menganggapnya tidak mencukupi dan sekadar penyelesaian sementara, manakala sebahagian lagi melihatnya sebagai tanda kesediaan kerajaan memenuhi hak rakyat Sabah di bawah Perlembagaan.
“Bayaran interim RM1.5 bilion itu harus dilihat secara positif.
“Bagaimanapun, ia tidak boleh mengalihkan perhatian daripada matlamat utama untuk menentukan, tanpa berlengah lagi, jumlah penuh geran khas 40% yang menjadi hak Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan, termasuk bagi tahun-tahun yang terlepas dan tahun selepasnya,” katanya.
Bagaimana untuk muktamadkan formula?
Menurut Mazlianie, beberapa isu perundangan, teknikal dan perakaunan yang rumit perlu diselesaikan sebelum formula tetap dan praktikal bagi mengira geran khas 40% Sabah dapat dimuktamadkan.
Antaranya ialah takrif ‘hasil bersih’, iaitu hasil yang terakru kepada Persekutuan selepas ditolak serahan statutori yang diterima negeri.
Katanya, kedua-dua pihak juga perlu menentukan sama ada hasil Persekutuan yang diperoleh di Sabah daripada perkara di bawah Senarai Persekutuan, seperti pelancongan, minyak, medan minyak, Cukai Keuntungan Harta Tanah dan cukai lain, perlu dimasukkan dalam pengiraan.
Ini kerana hasil tersebut menjadi sebahagian daripada Kumpulan Wang Disatukan Persekutuan.
Satu lagi persoalan yang perlu diperjelaskan ialah apakah yang dikira sebagai ‘potongan yang dibenarkan’.
Selain itu, perlu ditentukan sama ada hasil yang diperoleh ‘dari Sabah’ hanya merangkumi kawasan daratan atau turut meliputi perairan wilayah, pelantar benua dan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE).
Menurut Mazlianie, perkara itu menunjukkan keperluan untuk menetapkan dengan jelas sempadan dan skop wilayah yang perlu diambil kira dalam pengiraan.
Satu lagi isu ialah kaedah penyediaan akaun kewangan.
Mazlianie berkata antara 1964 hingga 1972, Kementerian Kewangan menerbitkan anggaran hasil dan perbelanjaan Persekutuan dengan pecahan berasingan bagi Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
Bagaimanapun, sejak 1973, akaun Persekutuan menggabungkan angka berkenaan sebagai jumlah keseluruhan negara.
“Penerbitan laporan kewangan yang telus dan mengasingkan hasil yang diperoleh dari Sabah amat penting bagi membolehkan formula 40% dikira dengan tepat,” katanya.
Adakah Putrajaya berada di landasan betul?
Mazlianie berkata kerajaan Persekutuan dilihat bergerak ke arah yang betul menerusi beberapa langkah, termasuk penubuhan Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63), papan pemuka MA63, peningkatan bayaran interim dan rundingan berterusan antara Putrajaya dan Sabah.
Menurutnya, perkembangan terkini menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya apabila isu berkaitan MA63 kurang mendapat perhatian dalam perbincangan awam.
Bagaimanapun, katanya, usaha berkenaan tidak mengurangkan tanggungjawab kerajaan untuk menunaikan hak Sabah terhadap geran khas 40% seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan.
“Perkara ini tidak boleh terus dilengahkan. Keperluan pembangunan Sabah perlu ditangani segera dan hak perlembagaannya terhadap bayaran tahunan 40% mesti ditunaikan tanpa kelewatan lanjut,” katanya.
Mazlianie turut menggesa ketelusan lebih menyeluruh dalam papan pemuka MA63.
Katanya, ia perlu menyediakan perkembangan lebih terperinci bagi setiap isu yang masih belum diselesaikan, membuka ruang kepada penglibatan awam yang bermakna serta menyatakan pihak yang bertanggungjawab terhadap setiap perkara bagi meningkatkan akauntabiliti.
Di sebalik aspek perundangan dan perlembagaan, beliau berkata rakyat Malaysia perlu melihat geran khas 40% itu sebagai pelaburan dalam pertumbuhan negara dan bukannya beban kewangan.
Menurutnya, pembayaran hak itu secara konsisten dapat mempercepat pembangunan Sabah, mengukuhkan sektor utama seperti pertanian, pelancongan dan industri berasaskan sumber secara mampan, sekali gus meningkatkan hasil negara.
“Geran khas 40% tidak seharusnya dilihat sebagai perbelanjaan yang menghakis kekayaan negara.
“Ekonomi Sabah yang lebih kukuh juga akan mengukuhkan ekonomi Malaysia,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.