Suri rumah didakwa bunuh ibu

Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Majistret Ipoh hari ini atas pertuduhan membunuh ibunya di sebuah rumah dalam kejadian di Menglembu, minggu lalu.
Tertuduh, Chew Loong Thye, 49, hanya mengangguk faham terhadap pertuduhan yang dibacakan dalam bahasa Kantonis di hadapan Majistret Norizan Riduan, menurut Sinar Harian.
Tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh.
Berdasarkan pertuduhan, dia didakwa melakukan pembunuhan terhadap Ching Lai Kheng, 70, di sebuah rumah di Taman Wang, Menglembu antara 7.15 malam hingga 7.30 malam pada 27 September lalu.
Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun serta sebatan tidak kurang 12 kali, jika tidak dijatuhi hukuman mati.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ainin Sofiya Azlaini manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Terdahulu, Ainin Sofiya memaklumkan mahkamah bahawa laporan patologi dan toksikologi masih belum diperoleh selain tiada jaminan ditawarkan.
Tertuduh memberitahu dia ada mengambil ubat psikiatri.
Mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh dirujuk kepada pakar bagi mendapatkan laporan psikiatri mengikut Seksyen 342 Kanun Prosedur Jenayah.
Sebutan semula kes ditetapkan pada 2 November depan untuk mendapatkan laporan termasuk psikiatri.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.