2 Adun PAS di Melaka galas 3 tanggungjawab besar, kata Syahir

Penolong Setiausaha Agung PAS Syahir Che Sulaiman berkata dua calon parti itu yang dipilih sebagai wakil rakyat dalam PRN Melaka semalam menggalas tiga tanggungjawab besar.
Beliau berkata mereka berperanan sebagai ‘semak dan imbang’ dalam pentadbiran, mengamalkan pendekatan ‘adil untuk semua’ kepada segenap lapisan masyarakat dan mempamerkan kepimpinan yang berintegriti dan berkebajikan.
Katanya, ‘Muafakat Melaka’ perlu diterjemahkan melalui pentadbiran dan khidmat yang manfaatnya dapat dirasai rakyat.
“Inilah yang dinyatakan oleh Presiden PAS Hadi Awang sejurus menerima berita kemenangan PRN Melaka.
“Insya-Allah, dengan penyertaan PAS dalam kerajaan negeri akan memperkukuh usaha dakwah, kebajikan, pendidikan dan perpaduan kaum di Melaka,” katanya dalam satu kenyataan.
Dalam PRN Melaka semalam, Barisan Nasional (BN) memenangi 21 kerusi dalam PRN Melaka semalam, sekali gus memperoleh majoriti dua pertiga dengan kekuatan sendiri, manakala Perikatan Nasional (PN) menambah tiga lagi kerusi kepada gabungan itu.
Dua calon PN daripada PAS, Rafie Ahmad yang bertanding di Paya Rumput dan Ridzuan Mohd Sarif yang bertanding di Bukit Katil berjaya mencatatkan kemenangan dengan majoriti besar.
Seorang lagi calon PN daripada Wawasan, Dr Yadzil Yaakub pula berjaya mempertahankan kerusi Bemban yang disandangnya.
Rafie menang dengan majoriti 7,185 undi dalam saingan tiga penjuru menewaskan calon Pakatan Harapan (PH), Azman Abidin dan calon Bersama, Abdul Rashid Abu Bakar.
Ridzuan pula menewaskan calon PH, Adly Zahari; Dr Aliza Che Amran dari Bersama dan calon Bebas Abu Bakar Sabudin dengan majoriti 6,607 undi.
Syahir berkata kemenangan PAS di Paya Rumput dan Bukit Katil itu lebih mengujakan kerana Rafie menewaskan Azman yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri Anwar Ibrahim, manakala Ridzuan berjaya merampas kerusi yang dipegang Adly yang juga timbalan menteri daripada Amanah.
“Kepada Ridzuan dan Rafie, selamat berkhidmat. Ini masa untuk bekerja!” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.