Selangor teliti bantuan bagi penjaja, peniaga kecil terjejas banjir

Kerajaan Selangor akan meneliti bantuan kepada penjaja dan peniaga kecil terjejas banjir bagi meringankan beban golongan itu, kata Menteri Besar, Amirudin Shari.
Beliau berkata, pihaknya bersedia membantu mangsa terkesan itu, terutama di Kuala Selangor yang masih berdepan banjir termenung.
Jelasnya, kerajaan negeri terlebih dahulu akan mendapatkan maklumat dan data terperinci jumlah mangsa terlibat.
“Kita akan melihat keperluannya nanti kepada peniaga yang mungkin tidak mengharapkan bantuan RM500, RM1,000 atau RM2,000 kerana kerugian mereka besar.
“Jadi, kita mungkin boleh tukar kepada beberapa perkara yang dapat meringankan beban dan komitmen bulanan mereka, terutama penjaja kecil,” katanya selepas penutupan Sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Selangor (HPPKS) 2026 di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, malam tadi.
Amirudin berkata, pihaknya akan menumpukan proses penyaluran bantuan kewangan kepada mangsa banjir seperti diumumkan kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri sebelum ini.
“Tanggungjawab kita adalah menyalurkan bantuan secepat mungkin kepada ketua isi rumah (KIR), termasuk tambahan RM500 yang disediakan kerajaan Selangor.
“Ada dua kategori penerima, iaitu mereka yang mendaftar dan tinggal di pusat pemindahan sementara (PPS) atau tidak tinggal di PPS.”
Mengulas HPPKS 2026, beliau berkata, program dua hari itu mencatatkan kehadiran 15,000 pengunjung dengan nilai jualan hampir RM200,000.
“Program anjuran Jawatankuasa Tetap Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri serta MBI itu menjadi platform dalam memperkasa usahawan mikro melalui peluang pemasaran, pendedahan teknologi digital serta jaringan perniagaan.
“Memasuki tahun kedua penganjurannya, jumlah pengunjung dan nilai jualan dilihat semakin meningkat menerusi inisiatif Platform Selangor serta Majlis Bandaraya Shah Alam.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.