Kerajaan teliti cadangan bina lebuh raya baharu atasi kesesakan di Lebuhraya Persekutuan

Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang meneliti beberapa cadangan membina lebuh raya bertol baharu bagi menangani kesesakan lalu lintas teruk di Lebuhraya Persekutuan.
Menteri Kerja Raya, Alexander Nanta Linggi, berkata KKR menerima beberapa cadangan daripada pihak swasta berhubung projek itu.
Menurutnya, lebuh raya dicadangkan itu akan menjadi sebahagian atau sambungan daripada jajaran Lebuhraya Persekutuan sedia ada.
“Cadangan-cadangan ini akan diperincikan sebelum dikemukakan kepada mesyuarat Jemaah Menteri dalam tempoh terdekat,” katanya dalan jawapan bertulis di Parlimen sebagai menjawab soalan Azli Yusof (PH-Shah Alam).
Azli bertanyakan perancangan KKR untuk mengurangkan kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan dan sama ada kerajaan akan membina laluan bertingkat bagi tujuan itu.
Nanta memaklumkan Lebuhraya Persekutuan menerima gred “F” dari segi tahap perkhidmatan jalan akibat kesesakan lalu lintas teruk di laluan berkenaan.
Jelasnya, penilaian itu berdasarkan unjuran trafik tahun lalu dan mengakui keadaan tersebut dipengaruhi beberapa faktor, termasuk pembangunan pesat kawasan perumahan, perindustrian dan komersial di sepanjang lebuh raya itu.
Tetapi, beliau berkata, kerajaan tiada perancangan untuk melebarkan lebuh raya itu atau membina laluan bertingkat bagi melancarkan aliran trafik.
Katanya, kedua-dua cadangan itu akan melibatkan kos tinggi, khususnya bagi tujuan pengambilan tanah dan aset. Selain itu, kesan sosial terhadap penduduk setempat juga perlu diambil kira.
“Pendekatan yang dilaksanakan KKR adalah mengoptimumkan penggunaan rangkaian jalan raya sedia ada, termasuk memanfaatkan mod pengangkutan alternatif lain bagi mengurangkan tekanan trafik di koridor berkenaan.
“Antara pilihan pengguna yang dapat mengurangkan kesesakan lalu lintas ialah memanfaatkan perkhidmatan LRT3 yang telah beroperasi pada 29 Jun lalu, menghubungkan Johan Setia ke Bandar Utama, dengan kemudahan pertukaran ke Laluan LRT Kelana Jaya di stesen Glenmarie.
“Penggunaan LRT3 dijangka dapat mengurangkan kebergantungan kepada kenderaan persendirian, sekali gus membantu mengurangkan jumlah kenderaan yang menggunakan Lebuhraya Persekutuan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.