Ahli Parlimen wanita Asia turun Melaka lihat proses demokrasi PRN

Kira-kira 20 ahli delegasi Kaukus Ahli Parlimen Wanita Asia atau Asian Women Parliamentarian Caucus (AWPC) dibawa ke Melaka hari ini bagi menyaksikan proses demokrasi dan pengundian PRN Melaka.
Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Mas Ermieyati Samsudin, berkata lawatan itu merupakan sebahagian daripada program sempena Mesyuarat AWPC 2026 yang berlangsung di Kuala Lumpur dari 12 hingga 14 November.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Masjid Tanah berkata, lawatan ke Melaka dirancang bagi memberi pendedahan secara langsung kepada delegasi antarabangsa mengenai perjalanan proses demokrasi dalam pilihan raya di Malaysia.
“Memandangkan PRN Melaka juga berlangsung hari ini, saya membawa mereka turun ke Melaka untuk mengikuti proses pengundian demokrasi dan melihat bagaimana proses demokrasi berlaku dalam pilihan raya negeri ini,” katanya yang juga ahli kaukus AWPC kepada FMT.
Menurutnya, delegasi itu terdiri daripada ahli parlimen wanita dari beberapa negara termasuk Filipina, Taiwan, Korea Selatan, Jepun, Nepal, Sri Lanka, Pakistan, India, Timor-Leste dan Maldives.
Mas Ermieyati berkata, Malaysia menjadi tuan rumah pertemuan AWPC kali ini yang turut menyaksikan lima sesi forum dengan pelbagai perbincangan mendalam mengenai isu berkaitan wanita dan kepimpinan.
Katanya, program itu turut melibatkan penyertaan ahli Parlimen Malaysia termasuk Ahli Parlimen Kapar Dr Halimah Ali dan Ahli Bukit Bendera Syerleena Abdul Rashid selain Adun Permatang Nurul Syazwani Noh serta Setiausaha Agung Muda Ainie Haziqah Shafiee.
Beliau berkata, delegasi AWPC turut mengadakan kunjungan ke Parlimen Malaysia pada 12 November dan berpeluang bertemu Perdana Menteri Anwar Ibrahim serta Ketua Pembangkang Hamzah Zainuddin selain menghadiri jamuan tengah hari bersama speaker Dewan Negara.
Mengulas penglibatan wakil kerajaan dan pembangkang dalam program berkenaan, beliau berkata ia merupakan usaha kerjasama rentas parti yang disokong Parlimen Malaysia.
Bagi lawatan di Melaka, beliau berkata delegasi berkenaan dibawa ke beberapa lokasi tempat mengundi sekitar Melaka termasuk tempat calon wanita untuk melihat suasana pilihan raya dan operasi berkaitan.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.