CSA bukan perkara baharu, tiada sebab bermusuh selepas pilihan raya, kata Ismail

Bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob berkata perjanjian keyakinan dan perbekalan (CSA) bukan perkara baharu dan pentadbiran beliau sendiri memulakannya ketika menerajui kerajaan dari Ogos 2021 hingga Oktober 2022.
Katanya, tiada sebab untuk parti politik terus bermusuhan selepas pilihan raya dan perkara berkenaan menjadi asas kepada CSA.
“Kalau waktu pilihan raya bolehlah kita bertentangan, tetapi luar daripada pilihan raya ini tak ada sebab kita nak teruskan permusuhan itu.
“Kalau boleh semua kena kerjasama sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas program walkabout bersama calon BN Durian Tunggal, Mustafa Musa.
Kerajaan pada 29 Okt lalu memeterai CSA dengan 13 Ahli Parlimen, terdiri daripada enam wakil Bersatu diketuai Muhyiddin Yassin, enam bekas wakil parti itu dan Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.
Perjanjian itu merangkumi sokongan terhadap Belanjawan 2027 serta reformasi institusi dengan wakil rakyat terbabit menerima peruntukan pembangunan kawasan setara Ahli Parlimen kerajaan.
Ditanya sama ada perkara terkandung dalam CSA itu perlu didedahkan kepada umum, Ismail berkata kerajaan boleh berbuat demikian sekiranya mahu memberikan ruang kepada rakyat meneliti kandungannya.
“Kalau kerajaan dedahkan boleh rakyat tengok apa yang terkandung dalam perjanjian tersebut,” katanya
Dalam pada itu, Ismail berkata hubungan Umno dan PAS ketika ini jelas menjurus kepada usaha penyatuan orang Melayu.
Beliau juga yakin kerjasama antara BN dan PAS di Melaka akan berjaya seperti di PRN Johor dan Negeri Sembilan.
Beliau berkata keyakinan itu disuarakannya berdasarkan sokongan pemimpin PAS di setiap bahagian yang ditandingi calon BN pada PRN Melaka.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.