Malaysia perlu jadi ‘Sang Kancil’ untuk harungi cabaran ekonomi, kata Khazanah

Malaysia perlu menjadi seperti ‘Sang Kancil’ – watak dalam cerita legenda yang terkenal dengan kepintarannya mencari jalan keluar – untuk mengharungi sebahagian cabaran ekonomi bakal dihadapi, kata Pengarah Urusan Khazanah Nasional Bhd Amirul Feisal Wan Zahir hari ini.
Amirul berkata keadaan positif dalam pasaran kewangan tidak semestinya diterjemahkan kepada ekonomi sebenar, khususnya di negara-negara lebih kaya, manakala corak penggunaan pula semakin tertumpu dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi.
Beliau berkata walaupun modal besar disalurkan kepada kecerdasan buatan (AI), kajian MIT mendapati 95% projek perintis AI perusahaan masih belum menunjukkan pulangan yang boleh diukur.
“Apabila gangguan rantaian bekalan berlarutan, timbul persoalan: berapa lama keadaan optimisme dalam pasaran kewangan ini boleh bertahan?” katanya dalam ucapan alu-aluan di Forum Megatrends Khazanah 2026, di sini.
Acara itu turut dihadiri Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Amirul berkata kerapuhan sedemikian menyebabkan negara lain lebih mengutamakan daya tahan berbanding pulangan semata-mata.
Katanya, ekonomi besar seperti Amerika Syarikat (AS), Eropah dan China boleh membawa pulang aktiviti pengeluaran dan permintaan ke negara masing-masing, disokong pasaran domestik yang luas serta modal awam yang kukuh.
Malaysia pula tidak mempunyai kelebihan sedemikian, katanya.
“Jadi, bagaimana ekonomi kecil bertindak balas terhadap kuasa global yang begitu hebat ini?
“Malaysia perlu menjadi Sang Kancil sekali lagi: sebuah negara perdagangan yang bijak dan saling terhubung, dengan daya tahan yang berpunca daripada kepelbagaian – sama ada sumber modal, destinasi eksport atau hubungan rantaian bekalan yang lebih banyak.”
Beliau turut menekankan kuasa keterhubungan, dengan berkata Malaysia sebagai negara ‘Sang Kancil’ mesti mempunyai hubungan yang kukuh dengan dunia.
Beliau turut menekankan kepentingan memelihara warisan Malaysia, yang menurutnya akan memberi sebab kepada pelancong asing untuk datang, tinggal lebih lama dan mengenali Malaysia sendiri.
“Bagi sebuah negara perdagangan, menjadi destinasi yang ingin dikunjungi dunia itu sendiri merupakan satu sumber kekuatan.”
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.