Krisis NS: Kini terang lagi bersuluh, bak bulan mengambang di langit cerah

Sebagaimana peristiwa yang terbentang sepanjang minggu lalu, dan seperti yang dilaporkan oleh media, apa yang dahulunya diselubungi khabar angin serta sandiwara politik kini menjadi semakin jelas—terang lagi bersuluh, bak bulan mengambang di langit yang cerah.
Bertentangan dengan pengumuman oleh pihak yang memegang kuasa, Menteri Negeri Sembilan Ismail Lasim menegaskan beliau sebenarnya tidak pernah menyerahkan surat peletakan jawatan kepada istana.
Pencerahan ini muncul tepat pada ketika Yang Dipertuan Besar Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menzahirkan kemurahan hati yang luar biasa.
Walaupun pelanggaran perlembagaan yang serius telah berlaku pada September— apabila Ismail dan barisan Exco ketika itu mengingkari titah dan menyanggah kuasa baginda berhubung pengisytiharan yang tidak sah sehingga membawa kepada pembatalan pelantikan kesemua exco terbabit, Yang Dipertuan Besar tetap mengurniakan perkenan menghadap kepada Ismail ketika beliau kelihatannya berusaha menarik balik pendirian terdahulu, melafazkan taat setia baharu, dan menjernihkan keadaan.
Terperangkap dalam percaturan lebih besar?
Selama berbulan-bulan, ramai dalam kalangan Anak Negeri tertanya-tanya bagaimana seseorang yang berasal dari Juasseh di Kuala Pilah—sebuah perkampungan tradisi yang sebati dengan adat perpatih dan kesetiaan kepada Raja Melayu—boleh berada di barisan paling hadapan dalam mencabar Yang Dipertuan Besar.
Laporan media mengenai isu surat peletakan jawatan yang dipertikaikan itu telah memberikan penjelasan yang membuka mata kita semua.
Jauh daripada bertindak sebagai perancang utama pengkhianatan ini, Ismail kelihatannya adalah muka hadapan semata-mata, terikat dengan arahan serta tekanan daripada tokoh-tokoh yang lebih berkuasa di luar Negeri Sembilan.
Apabila kelangsungan politik seseorang bergantung pada arahan jarak jauh dan bukannya mandat rakyatnya sendiri, jawatan tertinggi dalam pentadbiran negeri sekalipun tetap diperalatkan demi percaturan pihak lain.
Kemajuan terbantut akibat kepentingan politik
Apabila Tuanku Muhriz menghulurkan ihsan dan perkenan, serta Ismail bertindak menarik balik surat bulan September lalu kepada Majlis Raja-Raja, rakyat Negeri Sembilan mula menaruh harapan tinggi bahawa episod yang merugikan ini akhirnya akan bernoktah.
Setelah berminggu-minggu negeri ditadbir tanpa barisan exco yang berfungsi, rakyat biasa mahu tumpuan dikembalikan kepada keutamaan sebenar: menarik pelaburan berkualiti ke Nilai dan Senawang, memperkukuh infrastruktur tempatan, serta menyediakan belanjawan negeri 2027 yang mantap.
Sebaliknya, langkah ke hadapan sekali lagi terhalang oleh pergelutan kuasa dalaman dalam sebuah entiti politik.
Sesungguhnya, entiti politik inilah juga yang telah memperbesarkan apa yang bermula hanya sebagai keengganan seorang bekas ketua luak menerima pemecatannya oleh luaknya sendiri, sehingga menjadi krisis nasional yang meruncing.
Sungguh ironis apabila sebuah entiti politik yang sering mendabik dada kononnya menjadi pembela utama Raja-Raja Melayu dan martabat orang Melayu, sanggup membiarkan percaturan sebegini mendahului kestabilan di Negeri Sembilan.
Dengan sidang DUN yang dikatakan dijadualkan bersidang pada 26 Nov dan pembentangan belanjawan 2027 pada hari berikutnya, majlis angkat sumpah barisan Exco baharu dilaporkan tertangguh akibat penarikan diri saat akhir serta pertikaian mengenai siapa yang bakal mengisi semua kerusi tersebut.
Bagi kami Anak Negeri, mesejnya cukup jelas: belanjawan negeri 2027 dan kelangsungan hidup rakyat biasa di Negeri Sembilan telah diketepikan sementara ahli-ahli politik sibuk tawar-menawar kerusi mennteri besar dan keistimewaan jawatan exco.
Dalam perkiraan mereka, rakyat Negeri Sembilan dipandang sebelah mata, dan kesetiaan yang tulus ikhlas kepada Yang DiPertuan Besar hanya jatuh ke tempat kedua selepas kepentingan percaturan politik mereka.
Namun, kita juga wajar bertanya: mengapakah Adun yang telah dipilih oleh kita sendiri sebagai pengundi di Negeri Sembilan begitu taat mengikut telunjuk tuan-tuan politik mereka, sedangkan rakyat jugalah yang telah memberikan kuasa kepada tuan-tuan politik itu?
Adakah kita sebagai Anak Negeri hanya bernilai ketika di peti undi, sebelum kepentingan kita diketepikan begitu sahaja sebaik sahaja pilihan raya berakhir?
Tidakkah Adun yang kita pilih ini mempunyai sekelumit keberanian untuk menyanggah tuan-tuan politik mereka demi kepentingan kita, rakyat Negeri Sembilan?
Penderhakaan adat dan kedaulatan undang-undang
Pada masa yang sama, penderhakaan secara haram di peringkat adat masih berterusan dengan kedegilan yang amat luar biasa.
Walaupun warta kerajaan pada bulan Oktober lalu telah memuktamadkan pemecatan dan pelantikan pengganti ketua-ketua luak yang dilucutkan jawatan, seorang ketua luak bersama kesemua bekas ketua luak tersebut terus mengingkari ketetapan Dewan Keadilan dan Undang (DKU) secara tidak sah.
Namun begitu, di sisi undang-undang, mereka telah pun dikejutkan daripada mimpi dan ilusi kekebalan.
Mahkamah Rayuan telah menegaskan bahawa mereka tiada kekebalan daripada undang-undang.
Hakikatnya, di sisi mahkamah, mereka tertakluk kepada kebertanggungjawaban undang-undang yang sama seperti mana-mana Anak Negeri.
Dengan prosiding komital yang telah dijadualkan di Mahkamah Tinggi Seremban— termasuk pendengaran yang ditetapkan pada 15 Dis—serta kebenaran yang diberikan untuk tindakan menghina mahkamah seterusnya, proses kehakiman semakin menyempitkan ruang untuk mereka terus berdegil.
Bezanya hanyalah ketika rakyat biasa berdepan undang-undang secara bersendirian, golongan ini terus bertindak secara terbuka seolah-olah dilindungi oleh naungan politik tertentu.
Seruan ke arah ketertiban perlembagaan
Apa jua kompromi politik yang mungkin dicapai dalam beberapa hari mendatang, rakyat Negeri Sembilan wajar mengingati episod ini dengan jelas.
Kita telah menyaksikan sendiri bagaimana kepentingan politik pihak tertentu yang memegang kuasa boleh mengatasi maruah perlembagaan negeri mahupun kebajikan Anak Negeri.
Selain itu, demi memulihkan keamanan berkekalan di Negeri Sembilan, kebijaksanaan dalam kalangan Luak Johol amat diperlukan segera.
Semoga Anak Waris Biduanda di Johol dapat melihat melangkaui percaturan politik, menjunjung semangat sebenar adat perpatih, dan mengambil tindakan adat yang tegas untuk membetulkan hal ehwal dalaman luak mereka.
Tambahan lagi, semoga pihak berkuasa persekutuan menguatkuasakan undang-undang secara konsisten dan tanpa teragak-agak terhadap penghasut dalam talian yang terus menyebarkan kebencian berunsur hasutan serta fitnah terhadap institusi diraja Negeri Sembilan.
Negeri Sembilan adalah milik seluruh rakyatnya, bukan milik mana-mana luak atau suku tertentu semata-mata, dengan berpaksikan kebijaksanaan perlembagaan Raja Melayunya.
Tiada mana-mana entiti politik—dan tiada mana-mana dalang kuasa luar—berhak menjadikan masa depan negeri ini sebagai tebusan.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.