Tak perlu PRN Terengganu, Tuan Ibrahim jawab Tok Mat

Tiada keperluan mengadakan PRN Terengganu memandangkan pentadbiran semasa berada dalam keadaan stabil, kata Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man.
Beliau berkata, pencapaian kerajaan negeri yang sangat baik menjadi alasan kukuh untuk tidak membebankan rakyat dengan kos pembubaran serta tekanan politik yang tidak mendesak.
“Pilihan raya bukan alat mengukur keikhlasan muafakat politik tetapi sebuah mandat rakyat.
“Semua PRN di negeri seperti Johor, Melaka, dan Negeri Sembilan sebelum ini diadakan berikutan tempoh penggal yang telah matang atau atas faktor yang tidak terelakkan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, formula diguna pakai di Negeri Sembilan adalah yang terbaik, iaitu mengekalkan kerusi dimenangi serta bertolak ansur bagi kerusi belum menang.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim berkata pembubaran Parlimen adalah langkah yang lebih wajar, berbanding PRN bagi mendapatkan mandat baharu rakyat.
“Bola ditangan BN, GRS, dan GPS. Yang penting kami PN telah mengarahkan seluruh jentera bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.
Beliau mengulas seruan Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan mencadangkan pilihan raya diadakan di Terengganu bagi menguji keikhlasan PAS dalam usaha penyatuan Melayu dan membuktikan komitmen persefahaman politik parti itu.
Mohamad ketika menyampaikan ucapan penangguhan Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2026, menggesa PAS membubarkan DUN di salah satu negeri SG4 dan membahagikan kerusi secara saksama bersama Umno, bagi membuktikan kejujuran jalinan kerjasama.
Katanya, jika formula keikhlasan itu berjaya dibuktikan, ia boleh digunapakai sebagai model penyatuan Melayu bagi menghadapi PRU16.
Umno kalah teruk dalam PRN Terengganu lalu apabila gagal memenangi sebarang kerusi daripada 32 kerusi DUN yang dipertandingkan. Parti itu juga tumpas di semua lapan Parlimen di negeri berkenaan pada PRU15.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.