Temu Vijay masih dalam perancangan, kata PM

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata rancangan mengadakan pertemuan dua hala dengan Ketua Menteri Tamil Nadu C Joseph Vijay masih dalam perancangan dan perkara itu boleh diadakan sama ada di Putrajaya atau Chennai, Tamil Nadu.
Dalam wawancara eksklusif dengan Thanthi TV, Anwar turut menolak spekulasi bahawa Chennai tidak memberikan maklum balas terhadap cadangan lawatan dari Malaysia itu.
Perdana menteri yang kini berada di India, sepatutnya mengadakan lawatan kerja ke Chennai terlebih dahulu selepas menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin BRICS ke-18, sebelum menuju ke Keralam, satu lagi negeri di selatan India.
Bagaimanapun, lawatan ke Chennai dibatalkan pada saat-saat akhir.
“Tidak benar (bahawa Chennai tidak memberikan respons). Sejak awal, pejabat ketua menteri memaklumkan bahawa mereka cuba untuk menyelaras jadual beliau (Vijay) kerana beliau mempunyai komitmen terdahulu dan saya hanya mempunyai ruang masa yang singkat antara lawatan ke New Delhi, Keralam, dan Maldives.
“Walaupun begitu, beliau cuba untuk menyesuaikan jadual, dan beliau mempunyai misi pelaburan dan program lain yang sudah dirancang. Maka, akhirnya saya memberitahu beliau bahawa saya akan terus ke Keralam dan Maldives, saya tidak dapat meneruskan lawatan ke Tamil Nadu,” kata Anwar.
Oleh itu, katanya, hakikatnya ialah kedua pihak cuba untuk menyelaraskan jadual masing-masing berikutan komitmen sebelum itu dan hubungan baik antara dua pihak kekal kukuh.
Dalam wawancara yang menyentuh pelbagai isu itu, perdana menteri turut memberikan penilaian terbuka terhadap Vijay, memuji momentum awal dan daya tarikannya dalam kalangan pengundi muda, sambil menggesa pendekatan jangka panjang terhadap kuasa yang berlandaskan nilai, kesabaran, dan kebijaksanaan praktikal diutamakan.
Anwar adalah antara pemimpin asing terawal mengucapkan tahniah kepada pelakon popular yang menceburi bidang politik itu atas pelantikannya sebagai ketua menteri Tamil Nadu, dan menyifatkan beliau sebagai ‘suara baharu untuk pemikiran rasional, prinsip, dan tadbir urus yang baik’.
“Ketika saya bercakap dengannya (Vijay), saya sentiasa memberitahu beliau bahawa cabaran apabila anda berada dalam tampuk kuasa ialah mengekalkan kebijaksanaan untuk mengemudi kerana dalam dunia sebenar, cabarannya akan berbeza daripada apa yang ingin anda lakukan,” katanya.
Anwar berkata, beliau juga tersentuh dengan pendekatan Vijay, terutamanya dalam kesungguhannya untuk melaksanakan pembaharuan, melakukan penambahbaikan serta menangani isu kemiskinan dan rasuah.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.