AG, Zahid dibenar rayu keputusan benar Majlis Peguam cabar tuduhan rasuah

Peguam Negara (AG) dan Zahid Hamidi diberi kebenaran untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan Majlis Peguam mencabar keputusan menghentikan 47 pertuduhan rasuah terhadap presiden Umno itu.
Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa AG dan Zahid telah memenuhi ambang yang diperlukan di bawah Seksyen 96 Akta Mahkamah Kehakiman 1964.
Kebenaran untuk merayu ke mahkamah tertinggi hanya diberikan apabila sesuatu kes membangkitkan persoalan perlembagaan atau undang-undang baharu yang mempunyai kepentingan awam sehingga wajar untuk diputuskan oleh mahkamah.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan Hakim Besar Malaya Hashim Hamzah, bersama-sama Hakim Nordin Hassan dan Ruzima Ghazali, menyatakan bahawa kuasa pendakwaan AG di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan telah dicabar dalam kes ini.
Hashim berkata Mahkamah Tinggi mengguna pakai nilai ambang dua peringkat, yang menetapkan bahawa keputusan pendakwaan AG boleh tertakluk kepada semakan kehakiman dalam keadaan yang jarang berlaku dan luar biasa.
Katanya, Mahkamah Rayuan bagaimanapun, mengguna pakai ujian satu peringkat di bawah Aturan 53 Kaedah-Kaedah Mahkamah 2012, dengan disiplin, berhati-hati dan penuh batasan apabila berhadapan dengan kuasa pendakwaan AG, katanya.
“Kami berpandangan bahawa kes ini membangkitkan persoalan perlembagaan baharu yang mempunyai kepentingan awam yang memerlukan penjelasan dan keputusan muktamad Mahkamah ini,” kata Hashim.
Pada 7 Mei, Mahkamah Rayuan sebulat suara membenarkan rayuan Majlis Peguam terhadap keengganan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memberikan kebenaran bagi semakan kehakiman itu.
Mahkamah Rayuan menyatakan bahawa cabaran tersebut ditujukan kepada ‘punca eksekutif’ – iaitu keputusan AG untuk menghentikan pendakwaan – dan bukannya perintah mahkamah jenayah seterusnya yang memberikan Zahid pelepasan tanpa pembebasan (DNAA).
Zahid diberikan DNAA bagi semua 47 pertuduhan pada September 2023.
Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly dan Peguam Persekutuan Imtiyaz Wizni Aufa Othman hadir bagi pihak AG.
Ambiga Sreenevasan, Steven Thiru, S Sivaneindiren, Gregory Das dan Abhilaash Subramaniam mewakili Majlis Peguam.
Peguam Hisyam Teh Poh Teik, Ahmad Zaidi Zainal, Guok Ngek Seng dan enam yang lain bertindak bagi pihak Zahid.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.