Bukan hanya Sabah, Sarawak, Pantai Timur juga perlu tambah kerusi Parlimen, kata Fadhli

Ketua Penerangan PAS, Ahmad Fadhli Shaari berkata parti itu setuju bagi meminda Perlembagaan untuk membuka ruang penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sekiranya ia dibuat secara adil untuk semua.
Fadhli berkata PAS akui pertambahan kerusi parlimen ini perlu bukan sahaja di Sabah dan Sarawak tetapi juga di semenanjung terutama sekali di negeri-negeri Pantai Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang.
“Lebih kritikal lagi ialah di negeri Pantai Timur atau ‘Malay belt area’ yang mana ketika pertambahan kerusi untuk PRU 2004, negeri-negeri ini tidak menikmati pertambahan kerusi sebagaimana Pantai Barat.
“PAS tiada masalah untuk setuju jika pertambahan kerusi ini adil untuk semua dan melalui perbincangan yang sepatutnya,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Ketika ini Kelantan dan Pahang masing-masing mempunyai 14 kerusi parlimen, manakala Terengganu, 8.
Jumaat lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata Perlembagaan akan dipinda bagi membuka ruang penambahan kerusi Parlimen Sabah dan Sarawak sejajar Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).
Katanya, berkata penambahan itu perlu memastikan nisbah perwakilan Sabah dan Sarawak menjadi lebih tinggi, berbanding ketika ini.
Ketika ini, Sabah mempunyai 25 kawasan Parlimen, manakala Sarawak, 31.
Bagaimanapun, Fadhli berkata pertambahan kerusi itu adalah janji yang manis tetapi tidak praktikal untuk masa sekarang kerana PRU16 akan berlaku dalam tempoh setahun sahaja lagi.
“Tambahan kerusi itu satu perkara yang bagus dan praktikal, tetapi ia memerlukan pindaan perlembagaan dengan 2/3 suara majoriti di Parlimen.
“Tanpa rundingan untuk pertambahan juga di banyak lokasi di Semenanjung, adakah anda fikir ia akan lulus dengan mudah? Ia bukan bukan kerja sebulan dua,” katanya.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.