Eain Yow raih emas kelima Malaysia di Sukan Asia

Jaguh skuasy negara Ng Eain Yow menghadiahkan pingat emas kelima buat Malaysia di Sukan Asia Aichi-Nagoya selepas menjuarai acara perseorangan lelaki petang ini.
Eain Yow, yang juga juara bertahan, menewaskan pemain India Abhay Singh 11-9, 11-5, 11-5 dalam aksi final di Nagoya Kinjo Futo Arena.
Kemenangan itu turut melayakkan Eain Yow beraksi di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Eain Yow kini menduduki ranking ke-18 dunia, manakala Abhay berada di tangga ke-24.
Malaysia berpeluang mencapai sasaran enam pingat emas apabila jaguh perseorangan wanita negara S Sivasangari turun menentang seorang lagi pemain India, Anahat Singh, selepas perlawanan Eain Yow dan Abhay.
Sivasangari, pemain nombor lima dunia, berada dalam prestasi baik dan dijangka mempunyai kelebihan berdepan Anahat yang menghuni ranking ke-17 dunia.
Kemenangan dalam perlawanan itu juga akan membolehkan Sivasangari menempah tempat ke Olimpik 2028.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.