PH-Bersatu kembali berpaut, siapa sanggup bayar harga politik?

Kegagalan Pakatan Harapan (PH) menembusi kerusi majoriti Melayu pada PRN Johor dan Negeri Sembilan mencetuskan semula idea supaya gabungan itu dan Bersatu kembali berpaut bagi menghadapi pilihan raya akan datang.
Di Melaka, bibit ke arah itu sudah kelihatan apabila PH dan Bersatu hanya bertembung di beberapa kerusi, meskipun tiada kerjasama rasmi dimeterai antara kedua-dua pihak.
Perkembangan itu berlaku ketika hubungan Bersatu dengan kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim mula menunjukkan perubahan menerusi Perjanjian Keyakinan dan Perbekalan (CSA) yang ditandatangani enam Ahli Parlimen parti berkenaan, termasuk presidennya Muhyiddin Yassin, pada 29 Okt lalu.
Bagaimanapun, Muhyiddin menegaskan perjanjian itu tidak berkaitan dengan sebarang kerjasama pilihan raya bersama PH, sebaliknya bertujuan mendapatkan peruntukan pembangunan kawasan dan memperjuangkan reformasi institusi.
Pasca PRN Melaka yang sekali lagi menyaksikan Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) menguasai kerusi majoriti Melayu, cakap-cakap mengenai kerjasama PH-Bersatu kembali kedengaran, kali ini dengan nada lebih serius.
Persoalannya, adakah kedua-dua pihak benar-benar bersedia mengetepikan perseteruan lama, atau gagasan itu sekadar reaksi terhadap kekalahan pilihan raya?
Gesaan itu disuarakan Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil yang mahu pembentukan ‘khemah besar’ melibatkan parti di luar PH, khususnya Bersatu, disegerakan menjelang PRU16.
Isyarat hubungan yang semakin mesra turut kelihatan apabila Setiausaha Agung Bersatu Azmin Ali menghadiri Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam, Sabtu lalu, dan dilihat bersama Presidennya Mohamad Sabu.
Namun, Ketua Penerangan Bersatu Tun Faisal Ismail Aziz segera meredakan spekulasi dengan menegaskan kehadiran Azmin sekadar memenuhi undangan Amanah, bukannya petanda kerjasama politik dengan PH.
Walaupun menyifatkan jemputan itu sebagai manifestasi politik matang dan terbuka, Tun Faisal berkata Bersatu hanya bersedia meneroka kerjasama yang tidak mengorbankan prinsip perjuangannya.
Restu pimpinan tertinggi
Di sebalik keterbukaan segelintir pemimpin, persoalan lebih besar ialah sejauh mana gagasan itu mendapat restu kepimpinan tertinggi kedua-dua pihak.
Dalam PH, Amanah kelihatan paling bersungguh-sungguh menggerakkan kerjasama tersebut, namun pendirian DAP berpotensi menjadi penghalang utama.
Penganalisis Tawfik Yaakub berkata pembentukan khemah besar sukar direalisasikan selagi perbezaan dalaman PH belum diselesaikan dan DAP terus menolak kerjasama dengan Bersatu.
Menurutnya, kemenangan DAP di semua empat kerusi PH pada PRN Melaka mengukuhkan kedudukan tawar-menawar parti itu, berbanding Amanah yang gagal memenangi sebarang kerusi.
Malah, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook menegaskan cadangan berkenaan masih di peringkat Amanah, bukannya keputusan PH, dan sebarang perbincangan sepatutnya dibuat secara dalaman.
Selain perbezaan pendirian, kerjasama itu juga berisiko membuka ruang kepada serangan politik terhadap Bersatu sendiri.
Parti yang sebelum ini menggunakan label ‘UmDAP’ untuk mengkritik kerjasama Umno dengan DAP mungkin berdepan tuduhan serupa sekiranya memilih untuk berada dalam gabungan yang turut disertai DAP.
Malah, Menteri Besar Perak Saarani Mohamad pernah mengingatkan PAS dan Bersatu mengenai sejarah kerjasama mereka dengan DAP ketika mempertahankan hubungan Umno dengan parti itu daripada sindiran ‘UmDAP’.
Justeru, tidak mustahil label ‘BersaDAP’ kembali menghantui Bersatu sekiranya parti itu memilih untuk kembali bersama PH.
Bagi Bersatu, persoalannya bukan sekadar kesediaan bekerjasama, tetapi bagaimana menjelaskan perubahan pendirian itu kepada akar umbi selepas sekian lama menjadikan DAP sebagai sasaran politik.
Lebih penting, adakah Muhyiddin sendiri bersedia membawa Bersatu kembali bersama PH, atau keterbukaan yang ditunjukkan ketika ini hanya mencerminkan pandangan sebahagian pemimpin?
Hakikatnya, keperluan PH mencari formula baharu untuk memenangi sokongan Melayu semakin mendesak, tetapi menyatukan parti yang pernah berpecah bukan semudah menggabungkan jumlah undi atau kerusi.
Tanpa persetujuan kepimpinan tertinggi, kesediaan akar umbi dan kesepakatan mengenai hala tuju politik, gagasan khemah besar berisiko kekal sebagai percakapan setiap kali keputusan pilihan raya.
Namun, adakah PH dan Bersatu sanggup membayar harga politik untuk kembali bersama?
Penulis ialah pengarang Meja Berita Bahasa Melayu FMT.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.