Ahli Parlimen Rantau Panjang cedera nahas di Kuala Lipis

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Yusoff cedera di dada dan perut selepas terbabit kemalangan di KM7 Jalan Lingkaran Tengah Utama, Kechau Tui, Kuala Lipis, petang semalam.
Ketua Polis Lipis, Ismail Man, berkata dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, beliau bersama anak perempuannya berusia 26 tahun menaiki sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) dalam perjalanan dari Gua Musang, Kelantan ke Kuala Lumpur atas urusan kerja.
“Apabila tiba di tempat kejadian, pemandu dipercayai hilang kawalan sehingga kenderaan itu berpusing sebelum melanggar penghadang jalan di sebelah kanan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau berkata, Siti Zailah dihantar ke Hospital Kuala Lipis untuk mendapatkan rawatan lanjut, manakala anaknya tidak mengalami sebarang kecederaan.
Jelasnya, kes disiasat mengikut Kaedah 10 Kaedah-kaedah Lalu Lintas Jalan 1959 (LN 166/59).
Beliau meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan, selain menasihatkan pengguna jalan raya sentiasa memandu dengan berhati-hati dan berhemah serta memastikan kenderaan dalam keadaan baik dan selamat.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.