Kerjasama dengan PBDS akan bantu DAP raih sokongan Dayak, kata penganalisis

Penganalisis politik berpendapat kemungkinan kerjasama antara DAP dan Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS) pada PRN Sarawak dapat membantu DAP menarik sokongan pengundi Dayak serta berkembang melangkaui pangkalan pengundi Cina.
Felo Akademi Sains Malaysia, Jayum Jawan, berkata DAP dan PBDS tidak akan bertembung di kerusi sama kerana dua parti itu lazimnya memfokuskan kawasan berbeza.
“DAP akan lebih fokus kerusi majoriti Cina dan mungkin juga kerusi Bidayuh,” katanya kepada FMT.
Jayum berkata demikian susulan kenyataan Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen, awal bulan ini bahawa parti itu akan menemui Presiden PBDS, John Brian Anthony, bagi membincangkan kemungkinan kerjasama pada PRN akan datang.

Chong dilaporkan berkata, dua parti itu mempunyai pendirian dan lawan sama, sekali gus membuka ruang perbincangan untuk memperkukuh blok pembangkang di Sarawak.
James Chin dari Universiti Tasmania berkata, langkah DAP Sarawak meneroka kemungkinan kerjasama dengan PBDS menunjukkan parti pembangkang di negeri itu sedang berusaha memastikan pertembungan satu lawan satu dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Beliau berkata, DAP berpeluang cerah mencapai persetujuan dengan PBDS memandangkan Brian pernah menjadi ahli Jawatankuasa Pusat DAP dan pemimpin kedua-dua parti itu saling mengenali.
‘Sarawak for Sarawakian’

Chin berkata, PBDS tidak akan berdepan tindak balas negatif jika bekerjasama dengan parti dari Semenanjung seperti DAP kerana parti itu secara tradisinya memfokuskan kerusi Dayak di kawasan luar bandar.
Jayum turut menolak kemungkinan timbul reaksi negatif kerana naratif politik seperti “Sarawak for Sarawakian” atau “Sarawak First” bersifat memecahbelahkan dan tidak mencerminkan realiti kerjasama GPS dengan parti dari Semenanjung, seperti Barisan Nasional serta Pakatan Harapan.
Tetapi, penganalisis dari Universiti Malaysia Sarawak, Dick Lembang Dugun, mempersoalkan rasional DAP mahu bekerjasama dengan parti kecil seperti PBDS, yang tiada sebarang kerusi di Dewan Undangan Negeri.
“Adakah mereka mempunyai sokongan akar umbi? Adakah mereka mempunyai jentera parti yang kuat? Adakah mereka mempunyai kemampuan kewangan untuk membiayai kempen pilihan raya mereka? Tiga faktor ini penting. Ia memainkan peranan utama dalam memastikan parti pembangkang mampu bersaing dengan GPS,” katanya kepada FMT.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.