Hamzah usaha satu blok parti politik lawan Anwar

Hamzah Zainudin, tokoh politik berpengalaman yang membantu dua perdana menteri berkuasa, mungkin sekali lagi menjadi ‘operator politik’ dalam menentukan siapa yang bakal memerintah apabila berusaha menyatukan dua parti terbesar negara.
Sejak melancarkan Parti Wawasan Negara (Wawasan) pada Jun, Hamzah secara rasmi menjadi ketua pembangkang di Parlimen hasil sokongan PAS.
Matlamat Hamzah adalah untuk membawa PAS menyertai satu pakatan nasional bersama Umno, sekali gus menyatukan dua parti utama yang mewakili orang Melayu dan Islam yang membentuk hampir 60% daripada jumlah penduduk.
Jika direalisasikan, pakatan sedemikian boleh menggugat kerajaan perpaduan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim, yang menjadikan Umno sebagai rakan kerjasama sejak PRU 2022 selepas tiada parti yang berjaya mendapat majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.
Pakatan itu juga akan mewujudkan gabungan politik yang besar dan berpengaruh menjelang PRU akan datang, yang mesti diadakan selewat-lewatnya pada awal 2028.
“Apa yang saya cuba tanam dalam fikiran mereka ialah: ‘Kamu orang Melayu, duduklah berbincang’,” kata Hamzah dalam temu bual pada 17 Sept di pejabatnya di Bukit Tunku, Kuala Lumpur.
“Dalam negara ini, orang Melayu ialah majoriti dan jika orang Melayu tidak bersatu, bagaimana sesebuah negara boleh menjadi stabil?”
Umno dan PAS berjaya bekerjasama dalam PRN Negeri Sembilan pada Ogos, apabila mereka bersetuju untuk tidak meletakkan calon menentang satu sama lain dan akhirnya menyingkirkan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar daripada kerajaan negeri.
Kini mereka sedang mempertimbangkan aturan yang sama di Melaka, yang dijadualkan mengadakan PRN dalam tempoh dua bulan akan datang.
Walaupun Hamzah berkata beliau memainkan peranan dalam menyatukan Umno dan PAS, beliau mengecilkan keperluan mereka terhadapnya sebagai orang tengah pada masa ini.
Pemimpin kedua-dua parti itu menganjurkan perhimpunan tahunan masing-masing baru-baru ini, dengan kedua-dua pihak secara terbuka menyatakan minat untuk melanjutkan kerjasama mereka di peringkat nasional.
Perkara ini menyebabkan Anwar tidak berpuas hati, dan individu yang rapat dengannya berkata hubungan beliau dengan Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi semakin renggang.
Zahid, yang juga presiden Umno, mendesak PRU diadakan ‘secepat mungkin’, yang menunjukkan Umno mahu keluar daripada pakatannya dengan PH pimpinan Anwar.
Sistem politik Malaysia yang kompleks bertujuan memastikan wakil rakyat menerima keistimewaan ekonomi dan lain-lain untuk orang Melayu beragama Islam, yang memegang jawatan perdana menteri negara ini sejak kemerdekaan pada 1957.
Pada masa yang sama, kerajaan gabungan secara tradisinya memberikan suara kepada masyarakat Cina, India dan kaum minoriti lain di negara ini.
Hamzah, yang memulakan kerjaya politiknya dalam Umno dan kini bersama Wawasan yang menjadi sekutu PAS, kekal berada pada kedudukan yang baik untuk membantu merapatkan perbezaan antara kedua-dua parti yang bertahun-tahun bersaing untuk mendapatkan undi pengundi Melayu Islam.
Tokoh berusia 69 tahun itu memainkan peranan penting dalam mengumpulkan sokongan Ahli Parlimen yang membawa Muhyiddin Yassin ke jawatan tertinggi pada 2020, termasuk mendapatkan sokongan Umno dan PAS.
Langkah itu menjatuhkan kerajaan Dr Mahathir Mohamad, yang mengakui peranan Hamzah dalam mendapatkan kerjasama dua parti Melayu terbesar itu.
Muhyiddin kemudian melantik Hamzah sebagai setiausaha agung Bersatu.
Apabila Muhyiddin hilang majoriti di Parlimen hanya setahun kemudian, Hamzah membantu mengumpulkan sokongan untuk Ismail Sabri Yaakob menjadi perdana menteri seterusnya.
Profesor madya sains politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Syaza Farhana Shukri berkata pakatan pilihan raya baharu yang terdiri daripada parti-parti Melayu utama masih berkemungkinan terbentuk.
Namun katanya, pentadbiran Muhyiddin dilanda pergolakan dalaman, manakala nasionalisme Melayu Umno telah lama menyebabkan parti itu bertentangan dengan visi pemerintahan PAS yang lebih jelas berteraskan Islam.
“Perpaduan politik Melayu sukar dicapai kerana setiap parti hanya memikirkan diri mereka sendiri sehaja,” kata Syaza.
Hamzah disingkir daripada Bersatu pada Februari susulan krisis kepimpinan dengan Muhyiddin.
Beliau berkata parti Wawasan yang baru ditubuhkan hampir tiga bulan itu telah berjaya menarik lebih daripada 50,000 ahli, dan menjangkakan jumlah tersebut boleh mencecah 300,000 menjelang akhir tahun.
Sebagai perbandingan, Umno mempunyai kira-kira 3.5 juta ahli, manakala PKR pimpinan Anwar mendakwa mempunyai kira-kira satu juta ahli.
Wawasan membuat penampilan sulungnya dalam pilihan raya kurang daripada sebulan selepas pendaftaran rasminya, dengan memenangi tiga kerusi DUN di Negeri Sembilan.
Hamzah mengesahkan parti itu juga akan bertanding dalam PRN Melaka. Berbeza dengan parti-parti Melayu lain, Wawasan membenarkan kaum lain menjadi anggota biasa dan memegang jawatan kepimpinan, manakala jawatan presiden dikhaskan untuk orang Melayu.
“Saya bukan orang baharu. Sebenarnya, saya seorang ahli perniagaan sebelum saya menceburi bidang politik,” kata Hamzah.
Hamzah memenangi kerusi Parlimennya pada 2008 atas tiket Umno, tetapi meninggalkan parti itu susulan skandal 1MDB yang membawa kepada kekalahan pertama Umno di peringkat nasional pada 2018.
Beliau menyertai Bersatu selepas dipujuk untuk kekal dalam politik oleh taikun dan bekas menteri kewangan Daim Zainuddin, yang membantu menarik Hamzah ke dalam politik pada awal 2000-an.
Beliau menganggap Presiden PAS Abdul Hadi Awang, seorang ulama, sebagai ‘guru’, dan hubungan mereka membawa kepada pengumuman PAS pada Jun bahawa Hamzah kembali sebagai ketua pembangkang. Pemimpin PAS Ahmad Samsuri Mokhtar pula kekal sebagai pengerusi Perikatan Nasional.
Hamzah ialah “satu-satunya individu yang boleh bercakap dengan Zahid dan Hadi”, kata Syaza. “Saya juga tidak akan terkejut jika beliau menjadi calon perdana menteri.”
Bagaimanapun, Hamzah menolak sebarang cadangan bahawa beliau mahu menjadi perdana menteri, dengan berkata parti-parti yang lebih besar mempunyai calon berpotensi seperti Samsuri daripada PAS dan Zahid daripada Umno.
“Saya akan membantu sesiapa sahaja yang bercita-cita untuk menjadi perdana menteri,” kata Hamzah yang menambah beliau boleh bantu himpunkan orang dan pakatan yang diperlukan untuk jadi kerajaan.
“Anda pernah mendengar orang mendakwa saya sebagai seorang operator politik.”
Namun, satu-satunya pakatan yang ditolak Hamzah adalah bersama dengan Anwar.
“Saya ketua pembangkang dan Anwar ialah perdana menteri. Beliau tidak mahukan saya dan saya tidak mahukan beliau,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.