Bersatu kekal relevan untuk Melayu utamakan integriti, kata pemimpin

Seorang pemimpin Bersatu berkata parti itu masih kekal relevan kepada orang Melayu yang mengutamakan integriti, berpegang teguh kepada prinsip dan menolak rasuah, walaupun Bersatu kalah dalam tiga PRN berturut-turut termasuk di Melaka.
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata parti itu juga kekal relevan bagi mereka yang menolak pengkhianatan, fitnah, salah guna kuasa dan pemimpin yang menggunakan agama demi keuntungan politik.
Beliau juga menafikan bahawa Bersatu hilang pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu, sambil berkata calon Bersatu di Pantai Kundor memperoleh lebih 6,000 undi, atau 40.8% undi.
“Manakala di Lendu, Bemban dan Sungai Udang Bersatu menerima lebih 2,000 undi. Kenapa pengundi Melayu masih mengundi Bersatu dalam PRN Melaka?
“Mereka mahukan wakil rakyat yang mampu menyelesaikan masalah rakyat. Mereka tidak terpengaruh dengan naratif Melayu-Islam yang dimainkan Barisan Nasional (BN) dan PAS.
“Bagi kelompok pengundi ini, mereka melihat naratif Melayu-Islam yang dimainkan hanyalah sebagai alat untuk mendapatkan sokongan dan kuasa politik, selain mengalihkan perhatian daripada kelemahan kerajaan Melaka yang dikuasai Umno dalam menangani isu serta masalah rakyat,” katanya dalam satu kenyataan.
Tun Faisal menjawab kenyataan penganalisis politik Tawfik Yaakub, yang berkata kekalahan Bersatu di PRN Johor, Negeri Sembilan dan Melaka memberi isyarat Bersatu semakin kehilangan pengaruh dalam kalangan pengundi Melayu.
Tawfik, dari Universiti Malaya, berkata Bersatu perlu melaksanakan perubahan drastik di seluruh parti dan memperkukuh organisasinya jika mahu kekal relevan dalam arena politik negara.
Lima daripada tujuh calon Bersatu hilang wang deposit dalam PRN Melaka. Dalam PRN Negeri Sembilan, hanya seorang daripada 24 calonnya berjaya memperoleh semula wang deposit pilihan raya.
Tun Faisal mengakui bahawa Bersatu memerlukan ‘game changer’ untuk menarik pengundi, namun menegaskan bahawa parti itu akan terus berpegang pada prinsipnya dan bekerja keras untuk menarik sokongan rakyat.
“Jumlah pengundi yang bersama Bersatu mungkin tidak ramai sekarang, tetapi lambat laun semakin ramai yang akan sedar juga akan permainan politik Umno dan PAS,” katanya.
Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.