Aset beroperasi Yinson bakal pacu pertumbuhan MISC
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, mempersoalkan mengapa MISC perlu meminjam RM2.27 bilion untuk memperoleh kepentingan dalam Yinson Holdings Berhad, sebuah syarikat yang menanggung hutang berbilion ringgit. Beliau turut bertanya sama ada transaksi itu sebenarnya satu usaha menyelamatkan Yinson daripada masalah kewangan atau bailout.
Bagi saya, pilihannya mudah. MISC boleh mengambil masa bertahun-tahun mengembangkan perniagaan luar pesisirnya di luar negara, satu aset pada satu masa. Atau, ia boleh membeli kepentingan dalam sebuah platform yang asetnya sudah beroperasi, serta mempunyai kontrak yang sedia ada dan tenaga kerja yang mampu bersaing untuk membida kontrak seterusnya.
Ambil contoh fasiliti terapung FPSO Agogo milik Yinson di Angola, yang memproses minyak dan gas di laut. Walaupun Yinson berjaya menyiapkannya lebih awal daripada jadual, tempoh pembinaanya masih mengambil masa sampai 29 bulan, dari tarikh kontrak diperoleh sehingga pengeluaran minyak pertama. FPSO Agogo kini sudahpun beroperasi di bawah kontrak tetap selama 15 tahun. Di Brazil pula, FPSO Anna Nery mempunyai kontrak selama 25 tahun dengan Petrobras sehingga 2048. Dengan kata lain, MISC akan melabur dalam perniagaan yang sudah bertapak kukuh, dengan aset yang sudah beroperasi dan menjana pendapatan.
Berdasarkan transaksi yang dikemukakan, konsortium yang terdiri daripada MISC, keluarga Lim yang mengasaskan Yinson dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), telah menawarkan RM2.50 sesaham untuk memperoleh baki 55.2% saham Yinson daripada pasaran saham. Dari bayaran sejumlah RM4.03 bilion, hanya pemegang saham yang menjual saham mereka dalam Yinson akan menerima apa-apa pun.
Keluarga Lim tidak menjual pegangannya yang sedia ada, dan bukan sekadar mengekalkan pelaburan mereka dalam perniagaan itu. Malah mereka akan memasukkan kira-kira RM1 bilion lagi dalam bentuk tunai. Ini tentunya tidak kelihatan seperti sebuah bailout, ataupun menggambarkan suatu usaha menyelamatkan syarikat daripada masalah kewangan.
KWSP pula akan mengekalkan kepentingannya sekitar 17.1% tanpa mengeluarkan sebarang dana baru untuk membiayai pengambilalihan tersebut. Dengan kata lain, tiada dana awam akan digunakan untuk transaksi ini.
Sebagai pemegang saham baru dalam consortium tersebut, MISC bercadang membiayai RM3.03 bilion, dengan kira-kira 75% daripada jumlah itu menerusi pinjaman. Pinjaman membolehkan MISC menanggung kos pembelian secara berperingkat, disamping memastikan tunainya sekaligus masih tersedia untuk keperluan aset lain miliknya.
Pengambilalihan atau pertumbuhan organik?
Berdasarkan pengumuman kewangan suku tahunan terkini Yinson, nilai hasil kontrak pengeluaran luar pesisir yang telah dimeterai berjumlah kira-kira USD19.3 bilion.
Jumlah itu merupakan hasil masa depan daripada kontrak-kontrak sewaan yang telah dipersetujui dengan pelanggannya. Wang tersebut akan diterima secara berperingkat dalam tempoh bertahun-tahun, dan akan digunakan untuk membayar kos operasi serta pembayaran balik pinjaman. Namun, ia memberi asas kepada MISC untuk menilai kepentingan yang bakal dibelinya, berdasarkan nilai hasil kontrak-kontrak Yinson yang sedia ada.
Aset ultra-deepwater pertama MISC di Brazil mula menghasilkan minyak pada 2024. Jadi, MISC sudah mempunyai pengalaman dalam pasaran Brazil. Transaksi Yinson ini akan menambah tiga lagi aset di Brazil, selain membuka peluang menjalin hubungan perniagaan di pasaran-pasaran baru seperti Ghana dan Angola.
Di Ghana, Eni baru-baru ini meningkatkan kapasiti pemprosesan gas di sebuah fasiliti yang dimiliki Yinson di negara itu. Bagi kontraktor luar pesisir, aset yang sudah beroperasi menjadi bukti dan rekod prestasi, sekali gus membantu mereka memenangi kontrak seterusnya.
Dalam industri luar pesisir, kontraktor yang mampu melaksanakan kerja yang konsisten dan berkualiti mempunyai kelebihan. Di Guyana, misalnya, syarikat tempatan ExxonMobil baru-baru ini memberikan kontrak aset keenamnya kepada SBM Offshore.
Kontraktor yang mampu memanfaatkan penyelesaian kejuruteraan yang terbukti berkesan, mengembleng jurutera yang berpengalaman serta berupaya menunjukkan rekod operasi yang cemerlang, mempunyai kedudukan yang lebih kukuh dan kompetitif ketika membida projek. Inilah antara kelebihan yang saya jangka ingin diperoleh MISC daripada Yinson.
MISC juga boleh bekerjasama dengan Yinson untuk membida projek tertentu. Pembelian kepentingan dalam Yinson bukan sahaja membolehkan MISC menikmati sebahagian keuntungan daripada kontrak yang sudah menjana pendapatan. Ia juga memberi dorongan kepada kedua-dua syarikat untuk melabur dalam pasukan kejuruteraan yang boleh digunakan bersama untuk membida pelbagai projek.
Bagi Petronas, langkah ini bermakna MISC selaku cabang infrastruktur marinnya, boleh mengembangkan perniagaan dengan menyediakan perkhidmatan kepada pengeluar minyak di seluruh dunia, termasuk di medan minyak yang Petronas sendiri mempunyai kepentingan.
Pada pandangan saya, MISC telah mengambil kira nilai kelebihan untuk berkembang dengan lebih pantas itu. Ia boleh membandingkan harga membeli kepentingan dalam platform yang sudah beroperasi dengan kos membina aset sendiri, menambah tenaga kerja dan kemudian menunggu tiga hingga empat tahun sebelum kontrak mula menjana pendapatan.
MISC perlu membuat pengiraan bagi kedua-dua pilihan: yang mana satu mampu menghasilkan lebih banyak tunai, dan berapa cepat tunai itu boleh dijana? Pengiraan itu juga perlu mengimbangi risiko dengan manfaat jangka panjang.
Pinjaman perlu beri pulangan setimpal
Fadhli betul dalam satu perkara: pemberi pinjaman dan pemegang saham keutamaan Yinson mempunyai keutamaan dalam tuntutan bayaran berbanding pemegang saham biasa. Pada bulan Oktober, misalnya, Yinson mengumumkan penerbitan bon untuk menggantikan pinjaman sedia ada bagi Agogo. Pinjaman tersebut dikaitkan dengan aset yang sudah beroperasi dan mempunyai pelanggan yang menjana pendapatan.
Pinjaman yang dicadangkan MISC mempunyai tujuan yang berbeza. Ia akan digunakan untuk membiayai pembelian saham, manakala Yinson terus membayar pinjamannya sendiri.
Jadi, berapa sebenarnya kos pinjaman yang perlu ditanggung oleh MISC? Berdasarkan ilustrasi kewangan yang diterbitkannya, kos pinjaman tahunan dianggarkan sekitar RM107 juta. Berdasarkan keputusan kewangan teraudit terkini Yinson bagi tempoh berakhir Januari 2026, MISC menganggarkan ia boleh mencatatkan kira-kira RM176 juta sebagai bahagiannya daripada keuntungan Yinson.
Ini memberi gambaran awal mengenai potensi sumbangan pengambilalihan itu kepada keuntungan MISC, meskipun selepas mengambil kira kos faedah pinjaman. Namun, masih ada satu soalan penting: berapa banyak daripada keuntungan itu benar-benar boleh sampai kepada MISC dalam bentuk tunai?
Selain itu, jumlah pinjaman RM2.27 bilion yang disebut oleh Fadhli perlu dinilai dalam konteks nilai ekuiti Yinson. Berdasarkan premium 16% seperti yang dinyatakan dalam pengumuman MISC, pinjaman yang diperlukan MISC untuk membeli saham Yinson pada harga dagangan semasa adalah sekitar RM1.96 bilion. Jadi, persoalan sebenarnya bukanlah RM2.27 bilion itu semata-mata. Persoalannya ialah sama ada kira-kira RM310 juta pinjaman tambahan untuk membayar premium tersebut melebihi jumlah yang diperlukan untuk mendorong pemegang saham Yinson menjual saham mereka.
Perkara premium ini perlu dipertimbangkan oleh penasihat bebas MISC dalam laporannya.
Akhir kata
RM3.03 bilion sememangnya jumlah besar. Namun, angka itu wajar dibandingkan dengan kos pembinaan aset luar pesisir berskala besar, yang boleh mencecah USD3 bilion. Selain itu, harga tawaran RM2.50 sesaham juga tidak kelihatan luar biasa jika dibandingkan dengan julat harga sasaran RM2.26 hingga RM3.83 sesaham yang dianggarkan penganalisis saham Yinson sebelum transaksi itu diumumkan.
Akhirnya, lembaga pengarah MISC perlu menunjukkan bahawa asset-aset dalam portfolio Yinson mampu menjana aliran tunai yang mencukupi untuk memenuhi komitmen pembayaran kepada pemegang saham keutamaan, di samping memberikan pulangan munasabah kepada MISC dan rakan kongsinya.
Penulis ialah ahli ekonomi, penganalisis hubungan antarabangsa dan perunding kanan di Malaysia.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
