Hujan renyai tak patahkan semangat calon di Kuching

Hujan renyai tidak mematahkan semangat calon yang bertanding di Kuching pada PRN Sarawak ke-13 yang tiba di pusat penamaan calon masing-masing pagi ini.
Jentera pilihan raya Gabungan Parti Sarawak (GPS) sudah berada di pusat penamaan calon di Dewan Bandaraya Kuching Selatan sebelum 8 pagi, manakala calon mula tiba sekitar 8.30 pagi.
Datuk Bandar Kuching Selatan Wee Hong Seng, yang mewakili GPS di kerusi Pending, menjadi calon pertama tiba di situ.
Penyandang empat penggal kerusi Pending daripada DAP Violet Yong kemudian tiba sekitar 8.45 pagi bersama calon parti itu bagi kerusi Batu Lintang Dr Kelvin Yii, yang juga Ahli Parlimen Bandar Kuching dua penggal.
Di pusat penamaan calon di Perpustakaan Awam Kota Sentosa, penyandang kerusi Kota Sentosa daripada GPS Wilfred Yap dan bekas wakil rakyat kawasan itu yang juga Ketua DAP Sarawak Chong Chieng Jen, tiba hampir serentak sekitar 8.20 pagi.
Kedua-duanya diiringi kira-kira 50 penyokong. Jentera GPS melaungkan slogan ‘menang, menang, menang’, manakala kumpulan DAP membalas dengan sorakan ‘Vote for DAP’.
Kerusi bandar di Kuching yang majoriti penduduknya kaum Cina dijangka menjadi antara tumpuan pada PRN 12 Dis ini.
DAP hanya berjaya memenangi dua kerusi pada PRN 2021, namun parti itu berusaha meningkatkan pencapaian kali ini selepas Parti Sarawak Bersatu (PSB) dibubarkan.
PSB meletakkan dirinya sebagai parti pembangkang tempatan pada PRN 2021 dan berjaya memenangi empat kerusi. Perpecahan undi ketika itu turut memberi kelebihan kepada GPS di beberapa kerusi bandar di Kuching, Miri dan Sibu.
KioskNews shows a cleaned-up reading view extracted from the publisher’s page — the original always lives on their site, not ours.
